FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

BURSA Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup tinggi pada tengah hari ini selepas lantunan semula dalam saham berkaitan kerajaan yang melonjakkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

Lantunan semula itu disokong oleh pelabur institusi serta keyakinan bahawa kemelut politik negara ketika ini akan dapat diselesaikan segera.

Pada 12.30 tengah hari, pemegang indeks utama Maybank dan Sime Darby Plantation, yang berkaitan dengan Permodalan Nasional Bhd, satu daripada syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dan Tenaga Nasional, CIMB, IHH dan Axiata -- berkaitan dengan dana pelaburan strategik kerajaan Khazanah Nasional -- semuanya mencatatkan kenaikan.

FBM KLCI naik 10.67 mata kepada 1,500.73 selepas indeks itu dibuka 8.60 mata lebih rendah kepada 1,481.46 pada pagi ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik sembilan sen kepada RM8.29, Tenaga Nasional meningkat 16 sen kepada RM12.30, Public Bank menokok 14 sen kepada RM17.54, Petronas Chemicals menambah empat sen kepada RM6.40, IHH naik tujuh sen kepada RM5.67, Axiata meningkat lapan sen kepada RM4.22, CIMB Group menokok tiga sen kepada RM4.89 dan Sime Darby Plantation mengukuh lima sen kepada RM4.95.

Semua kaunter itu menyumbang 53.48 mata kepada jumlah indeks komposit.

Dalam kalangan kaunter cergas, Avillion naik setengah sen kepada 16 sen manakala Mtouche Technology dan MyEG kedua-duanya meningkat satu sen masing-masing kepada 17 sen dan RM1.23.

Di papan indeks, hampir semua indeks kembali positif dengan Indeks FBM Emas meningkat 82.22 mata kepada 10,728.32 manakala Indeks FBMT 100 naik 82.42 mata kepada 10,520.79 dan FBM Ace menokok 47.34 mata kepada 5,695.48.

Indeks FBM Emas Shariah naik 92.96 mata kepada 11,417.93 dan FBM 70 meningkat 137.32 mata kepada 13,538.53.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.25 mata kepada 143.23, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 80.60 mata kepada 14,402.22 dan Indeks Perladangan menambah 16.98 mata kepada 6,932.52.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 2:20 PM