HAFIZA (tengah) bersama produk jenama Fatina yang mengeluarkan beberapa jenis sos keluaran syarikat MH Mohd Industries Sdn Bhd.
HAFIZA (tengah) bersama produk jenama Fatina yang mengeluarkan beberapa jenis sos keluaran syarikat MH Mohd Industries Sdn Bhd.
MOHAMAD (dua dari kanan) dan Hafiza menunjukkan mesin digunakan untuk mengisi sos sambil diperhatikan Nuriha (kiri) di kilangnya di Jalan Morak, Tumpat.
MOHAMAD (dua dari kanan) dan Hafiza menunjukkan mesin digunakan untuk mengisi sos sambil diperhatikan Nuriha (kiri) di kilangnya di Jalan Morak, Tumpat.
HAFIZA (tiga dari kanan) tidak kekok mengisi sos cili ke dalam botol sambil diperhatikan ayahnya Mohamad dan Pegawai FAMA, Nuriha.
HAFIZA (tiga dari kanan) tidak kekok mengisi sos cili ke dalam botol sambil diperhatikan ayahnya Mohamad dan Pegawai FAMA, Nuriha.
Oleh Betty Subaryati


Tekadnya hanya satu, mahu meneruskan legasi perniagaan sos cili, tomato dan kicap yang diterokai ayahnya sejak 30 tahun lalu.

Peribahasa ‘ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’ seakan-akan sebati dalam jiwa anak kepada pengasas produk jenama MH Mohamad.

Jika dulu MH Mohamad gah dengan produk sos di Kelantan, kini warisan itu diteruskan anak perempuannya, Hafiza Mohamad, 32.

Statusnya sebagai siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak menghalang kepada dirinya untuk hidup berdikari. Malah, pemegang ijazah dalam bidang perniagaan antarabangsa ini sanggup menolak tawaran kerja bergaji ribuan ringgit.

Semuanya dilakukan semata-mata mahu membantu perniagaan turun-temurun diwarisi ayahnya.

Langkah kanannya bermula pada 2008 selepas ‘jatuh hati’ dengan bisnes itu.

“Sebaik tamat pengajian di UiTM pada 2008, saya terus turun ke kilang.

“Walaupun ayah pemilik kilang tetapi saya sanggup turun padang bersama pekerja lain melakukan aktiviti pemprosesan pelbagai sos,” katanya ditemui di kilang itu di Kampung Paloh Jalan Morak, Tumpat, Kelantan.

Katanya, dia menerapkan semua ilmu yang dipelajari ke dalam perniagaan diusahakan ayahnya.

Dia mengikuti banyak kursus dianjurkan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Antaranya kursus dianjurkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurutnya, kursus diikuti banyak memberi impak dalam perkembangan Syarikat MH Mohd Industries Sdn Bhd.

“Kursus itu membolehkan syarikat kami berkembang maju dan semakin moden dalam pemprosesan produk.

“Bukan saja dari segi pasaran dan pengeluaran produk, malah sos tomato, sos cili, kicap tiram, kicap manis dan kicap masin jenama MH Mohamad mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Produk kami dapat dibawa ke Vietnam dan Ireland selain beberapa negara Asia.

Hafiza yang juga anak sulung daripada lima beradik itu berkata demikian selepas menerima lawatan Ketua Unit Industri Asas Tani FAMA Kelantan, Nuriha Yusof di kilangnya, baru-baru ini.

Hadir sama MH Mohd Yusof dan pentadbir unit industri asas tani FAMA, Mahiran Ahmad.

Berkongsi cerita katanya, kilang diusahakan sejak 1986 itu dibuka secara kecil-kecilan di rumah mereka di Kampung Kubang Palas.

“Di awal penubuhan syarikat, kami digalak untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran apatah lagi, ibu, Hazizah Hamad, 55, sangat mementingkan akademik anak.

“Sebagai anak sulung, saya sering membantu ibu dan ayah pada cuti semester sehingga mahir selok-belok perniagaan ini,” katanya.

Perniagaannya berstatus industri kecil dan sederhana (IKS), malah produk dikeluarkan cukup dikenali di Kelantan, selain menembusi pasar raya di seluruh negara.

“Pada awal pembabitan, MARDI banyak memberi bimbingan mengenai cara penghasilan produk.

“Ia kemudian dikenali di merata tempat dan sejak itulah perusahaan kami semakin meningkat serta mampu muncul sebagai pengeluar utama sos di negeri ini (Kelantan),” katanya.

Hafiza kini diberi tanggungjawab mengendalikan syarikat dengan mengeluarkan lebih 100,000 botol pelbagai produk membabitkan nilai jualan kira-kira RM100,000 hingga RM150,000 sebulan.

“Jika dulu perusahaan dijalankan di rumah hampir sepuluh tahun, kini syarikat berpindah ke Jalan Morak dekat Wakaf Bharu.

“Kami juga melebarkan sayap perniagaan dengan mengeluarkan produk baru iaitu sos pencicah buah, sos tiram dan cuka buatan di bawah jenama Fatina,” katanya yang dibantu adiknya, Mahfuzah, 31, sebagai pengurus pemasaran manakala Norliana pengurus kewangan.

Sementara itu Mohamad berkata, dia berbangga dengan khidmat tiga anaknya itu dalam meluaskan perniagaannya.

Nuriha berkata, MH Mohamad menjalinkan kerjasama dengan FAMA sejak 25 tahun.

“Ia bermula sebaik penubuhan pasar tani di negeri ini termasuk pasar pagi Wakaf Che Yeh.

“Syarikat sentiasa komited serta memberi kerjasama terhadap program pemasaran anjuran FAMA sebelum berjaya menerima anugerah peniaga 1Malaysia Best dua tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 12:10 PM