KURANGKAN penggunaan sos tomato dalam masakan.
KURANGKAN penggunaan sos tomato dalam masakan.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


RAKYAT Malaysia sememangnya sangat kreatif dalam mencipta pelbagai resipi makanan yang baharu dan lazat.

Setiap resipi yang dihasilkan itu sentiasa menarik minat masyarakat untuk mencuba sama ada membeli atau memasaknya.

Antara kreativiti rakyat Malaysia ialah melakukan inovasi terhadap makanan tempatan hingga bertukar kepada makanan 'hipster' seperti pisang goreng 'cheese' bersama limpahan coklat dan keropok lekor 'cheese'.

Penggunaan pelbagai bahan manis seperti gula bagi menjadikan makanan ini kelihatan menarik dan enak.

Terbaharu, tular pula resipi bihun yang dimasak menggunakan 12 sudu teh gula.

Ramai yang mengeji, tetapi ramai juga sudah mencuba resipi viral ini. Mereka berpendapat makanan itu lazat dan secukup rasa.

Pensyarah Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Razinah Sharif berkata, beliau ingin berkongsi maklumat berkenaan ukuran gula dalam masakan.

Menurutnya, penggunaan 12 sudu teh gula dalam masakan adalah satu jumlah yang agak banyak dan boleh mengundang pelbagai jenis penyakit.

"Tidak dinafikan penggunaan gula dalam masakan untuk menyeimbangkan rasa, jika digunakan mengikut sukatan yang betul.

GAYA hidup sidentari penyumbang peningkatan penyakit.
GAYA hidup sidentari penyumbang peningkatan penyakit.

"Dalam ilmu sains berkaitan masakan, satu sudu teh adalah bersamaan lima gram (g) gula iaitu 20 kalori.

"Jadi, bagi penggunaan 12 sudu teh gula, bermakna kita menggunakan 60gm gula dalam masakan bihun goreng iaitu bersamaan 240 kalori tambahan," katanya.

Beliau yang juga pentadbir di Facebook 'Ini Sains Beb' berkata, jumlah penggunaan gula kelihatan seperti banyak, namun sebungkus bihun ini bukannya dimakan habis oleh satu orang.

"Jadi, sekiranya bihun ini dimasak untuk enam orang makan, kalori daripada gula iaitu 240 kalori dibahagikan kepada enam (orang).

"Ini bermakna setiap orang hanya mengambil 40 kalori daripada gula berkenaan.

SOS tiram mengandungi gula tersembunyi.
SOS tiram mengandungi gula tersembunyi.

"Ini belum lagi kiraan kalori pada bahan lain yang digunakan dalam memasak bihun seperti minyak, bebola ikan dan sebagainya," katanya.

Dr Razinah berkata, beliau cuba membandingkan resipi bihun tular ini dengan penggunaan kicap dan sos yang sebenarnya mengandungi gula tersembunyi.

"Resipi biasa bihun goreng menggunakan lima sudu besar kicap manis, sos tiram (tiga sudu besar), sos tomato (tiga sudu besar). Namun, ramai tidak mengetahui kandungan gula dalam kicap manis ini.

"Satu sudu besar adalah bersamaan 15 mililiter (ml) kicap manis, sos tiram dan sos tomato.

"Melihat kepada label makanan, dianggarkan 15ml kicap manis mengandungi 5g gula. Jadi sebenarnya resipi bihun goreng yang menggunakan lima sudu besar kicap manis ini terkandung 25g gula," katanya.

TULAR bihun 12 sudu gula.
TULAR bihun 12 sudu gula.

Beliau berkata, dalam sos tomato pula, terdapat 23g gula bagi setiap 100g saiz hidangan dan jumlah ini sama dengan sos tiram.

Katanya, konteks saiz bagi satu sudu besar sos tiram dan sos tomato adalah bersamaan 20g sos.

"Oleh itu, jika menggunakan tiga sudu besar sos tiram dan sos tomato, dianggarkan jumlah gula dalam hidangan adalah 13.8g gula dalam sos tiram dan 13.8g gula dalam sos tomato.

"Jumlah keseluruhan gula dalam masakan bihun goreng versi sos ialah 52.6g.

"Jumlah kalori daripada bihun goreng versi sos ini ialah 210 kalori hanya daripada sos yang akan dikongsi bersama rakan yang turut sama makan sebungkus bihun goreng berkenaan.

"Perlu diingatkan, ini hanya anggaran sahaja. Jumlah gula mungkin berbeza mengikut label makanan, jenis dan jumlah sos serta kicap yang digunakan dalam resipi itu," katanya.

PENGAMBILAN makanan berkarbohidrat tinggi meningkat.
PENGAMBILAN makanan berkarbohidrat tinggi meningkat.

Jelas Dr Razinah, jika dilihat secara perbandingan kasar, jumlah kalori tidaklah jauh berbeza. Resipi viral pun digunakan, begitu juga dengan resipi menggunakan sos.

"Bagaimanapun, jika menginginkan makanan sihat, boleh memasak bihun dengan cara merebus.

"Selepas ini boleh sukat berapa banyak gula yang mahu digunakan dalam masakan.

"Mereka yang mengalami kesukaran menurunkan berat badan, mungkin disebabkan terlalu banyak gula tersembunyi di dalam masakan," katanya.

Katanya, sebagai contoh, ayam teriyaki yang dihidangkan bersama salad dan tanpa nasi. Ia dilihat seperti pilihan makanan sihat.

"Namun sebenarnya sos teriyaki mempunyai kandungan gula yang tinggi. Mayonis yang diletakkan pada salad turut mengandungi gula.

"Begitu juga dengan 'French dressing', turut mengandungi gula bagi menyeimbangkan rasa.

"Kita semua perlu peka dengan gula tersembunyi dalam makanan bagi mengelakkan pengambilan berlebihan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kajian terkini, corak pemakanan rakyat Malaysia memperlihatkan transisi dan perubahan sejak 1980 hingga 2014.

Dr Razinah berkata, terdapat peningkatan dalam pengambilan makanan berkarbohidrat tinggi (nasi dan makanan daripada gandum seperti roti juga pasta), gula, daging, ikan serta makanan laut.

Katanya, prevalens penyakit tidak berjangkit juga meningkat sehingga 170 peratus sejak 1980-an akibat daripada gaya hidup yang sedentari dan amalan pemakanan tidak sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 7:00 AM