EZCAB menawarkan 10 pilihan kaedah penerimaan bayaran termasuk wang tunai, kad kredit dan pelbagai e-dompet.
EZCAB menawarkan 10 pilihan kaedah penerimaan bayaran termasuk wang tunai, kad kredit dan pelbagai e-dompet.

BANK Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) mengumumkan kerjasama strategik dengan EzCab Sdn Bhd (EzCab) untuk membolehkan pemandu teksi EzCab di Malaysia menerima pembayaran tanpa tunai melalui Bank Muamalat DuitNow QR.

Dalam kenyataan semalam, Bank Muamalat berkata, kerjasama ini menyediakan tambahan penyelesaian pembayaran kepada pelanggan EzCab daripada semua bank dan e-dompet utama untuk membayar tambang teksi mereka dengan menggunakan DuitNow QR melalui aplikasi mudah alih masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Platform Pembayaran DuitNow QR diperkenalkan pada Disember 2019 dan pada masa ini, 1,000 pemandu teksi EzCab dilengkapi kaedah penyelesaian itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EzCab Raymond Yap berkata, syarikat itu berada di barisan hadapan dalam menyediakan pelbagai pilihan pembayaran tanpa tunai untuk perkhidmatan e-hailing.

"Pada masa ini, EzCab menawarkan 10 pilihan kaedah penerimaan bayaran, termasuk wang tunai, kad kredit dan pelbagai e-dompet," kata Yap.

Sejajar pelancaran penyelesaian DuitNow QR, Bank Muamalat menawarkan kod promosi khas untuk penumpang EzCab.

Penumpang boleh menikmati diskaun RM3 daripada tambang mereka dengan menggunakan kod promo EZBMMB sah dari 1 November 2020 hingga 30 April 2021 dan terhad sehingga 20,000 penebusan sepanjang tempoh kempen berlangsung. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:20 AM