BANK Mualamat melancarkan eWakaf melalui QR bagi kemudahan pelanggannya.
BANK Mualamat melancarkan eWakaf melalui QR bagi kemudahan pelanggannya.
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd menyasarkan peningkatan sekali ganda transaksi e-derma dan pembayaran QR kepada 20,000 transaksi membabitkan nilai mencecah kira-kira RM400,000.

Seiring dengan perkembangan semasa penerimaan masyarakat terhadap penggunaan teknologi dan pembayaran melalui Kod Respon Pantas (QR), Bank Mualamat melancarkan eWakaf melalui QR bagi kemudahan pelanggannya.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Jabatan e-Perbankan dan Perniagaan Strategiknya, Datuk Mearia Hamzah berkata, setakat ini ada 2,700 peniaga menggunakan pembayaran QR berkenaan dan dijangka meningkat kepada 3,700 menjelang akhir tahun ini.

Katanya, selain peniaga institusi keagamaan termasuk masjid dan surau turut menggunakan kemudahan berkenaan menerusi inisiatif e-derma yang diperkenalkan pertengahan tahun lalu.

“Inisiatif eWakaf melalui QR Muamalat ini berjaya dikembangkan kepada empat negeri yang berkolaborasi dengan kami dalam pengurusan wakaf tunai iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah.

“Kerjasama ini akan dilanjutkan ke negeri lain secara berperingkat dan pada masa hadapan, kami merancang untuk mengembangkan penggunaan pembayaran QR ini kepada perkhidmatan zakat dikenali sebagai e-zakat,” katanya kepada media selepas pelancaran eWakaf QR di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Menurutnya, sebelum ini pelanggan yang ingin berwakaf boleh berbuat demikian menggunakan perbankan Internet, mesin ATM atau ke kaunter bank dan kini, ia diperluaskan lagi dengan pengenalan pembayaran e-Wakaf.

Sementara itu, Mohd Redza di dalam ucapannya berkata, sehingga Ogos tahun ini, kutipan keseluruhan dana Wakaf Muamalat mencecah RM27 juta dan sebanyak RM19 juta diagihkan ke 82 projek di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 6:20 AM