MOHAMED (kiri), Ketua Bahagian Syariah dan Pembangunan Produk Bank Muamalat, Dr Shamsiah Abd Karim (tengah) dan Wan Hosni pada sidang media Majlis Pelancaran Ez-Zakat Muamalat.
MOHAMED (kiri), Ketua Bahagian Syariah dan Pembangunan Produk Bank Muamalat, Dr Shamsiah Abd Karim (tengah) dan Wan Hosni pada sidang media Majlis Pelancaran Ez-Zakat Muamalat.
Sofyan Rizal Ishak

KUALA Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyasarkan peningkatan jumlah pendepositnya kepada 80,000 bagi tempoh tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020.

Naib Presiden dan Ketua Jabatan Pemasaran dan Depositnya, Wan Hosni Wan Kamal berkata peningkatan terbabit bakal dipacu melalui pelaksanaan pelbagai kempen promosi produk dan perkhidmatan yang dirancang sepanjang tahun terbabit.

Menurutnya, antara produk yang bakal menjadi pemacu utama ialah Ez-Zakat iaitu kemudahan pengiraan dan potongan zakat secara automatik bagi akaun simpanan dan semasa Bank Muamalat.

“Kami adalah bank pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu kepada pendepositnya dan ia adalah tambahan kepada servis pembayaran zakat oleh bank selain kaedah potongan gaji, bayaran di kaunter dan perbankan Internet,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian bagi fasiliti Auto Zakat Muamalat di antara Bank Muamalat dan Pusat Pungutan Zakat-MAIWP di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat iaitu Khairul Kamarudin dan Pengurus Besar Kanan Operasi Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, Mohamed Hasan.

Naib Presiden Kanan Jabatan Pembangunan Produk dan Syariah Bank Muamalat, Dr Shamsiah Abdul Karim berkata pelancaran fasiliti itu akan menjadi penanda aras kepada Bank Muamalat dalam memberi perkhidmatan kewangan Islam dan mengorak langkah dalam menerajui inovasi dalam pengurusan zakat di negara ini.

“Perkhidmatan Ez-Zakat Muamalat ditawarkan di semua 64 cawangan Bank Muamalat seluruh negara dengan kaedah kiraan dan potongan zakat yang akan digunakan adalah mengikut praktis PPZ-MAIWP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 9:56 AM