Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari menunjukkan produk baharu Kad Prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun). FOTO IHSAN MAIPk
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari menunjukkan produk baharu Kad Prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun). FOTO IHSAN MAIPk
Bisnes hmetro


Kuala Lumpur: GOPAYZ, e-dompet universal yang dibangunkan U Mobile dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melancarkan Kad Ta'awun Prabayar Visa yang membolehkan pelanggan memohon kad ta'awun mesra Muslim dalam bentuk fizikal dan maya.

U Mobile dalam satu kenyataan berkata, pelanggan boleh menggunakan kad berkenaan yang berfungsi seperti kad debit ini untuk membayar zakat, wakaf tunai dan derma melalui pelbagai saluran, seperti laman web dan aplikasi GoPayz, terminal pembayaran MAIPk dan kios pembayaran MAIPk.

"Aplikasi GoPayz dilengkapi dengan kalkulator zakat yang memudahkan pengiraan untuk pelanggan.

"Selain itu, pelanggan akan memperoleh mata ganjaran GoPointz daripada transaksi zakat, wakaf tunai dan derma dengan MAIPk di mana 1 GoPointz akan diberikan untuk perbelanjaan berjumlah RM25 bagi zakat, wakaf tunai atau derma dengan MAIPk," katanya.

Menurutnya, mata ganjaran kad berkenaan boleh diwakafkan terus kepada MAIPk, memberi keistimewaan dan peluang kepada pengguna untuk menambahkan ibadah wakaf tanpa mengeluarkan tunai.

"Program penukaran mata GoPointz kepada wakaf tunai ini disasarkan untuk dilancar mulai Jun 2021," katanya.

Katanya, kad ta'awun ini turut berfungsi sebagaimana kad debit biasa dan boleh digunakan untuk transaksi di mana-mana terminal Visa.

"Ia juga tidak memerlukan pengguna mempunyai akaun bank dan hanya perlu menggunakan aplikasi GoPayz memandangkan kad ini boleh mengguna semua perkhidmatan kewangan digital yang berdaftar di bawah Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Bagi 2,500 pelanggan pertama yang memohon kad ini di mana-mana cawangan atau pejabat MAIPk dari sekarang hingga 31 Disember ini akan mendapat kad itu secara percuma.

Malah, 1,500 pelanggan pertama yang memohon melalui aplikasi atau laman web GoPayz akan menikmati pulangan tunai 100 peratus untuk bayaran kad berjumlah RM16 setiap kad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 7:12 AM