DARI kiri, Ahmad Tajuddin bersama Khairol Anam, Amin dan Mohd Izairi menunjukkan aplikasi E-Infaq, semalam.
DARI kiri, Ahmad Tajuddin bersama Khairol Anam, Amin dan Mohd Izairi menunjukkan aplikasi E-Infaq, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Infaq Channel Sdn Bhd melancarkan aplikasi E-INFAQ, pertama di negara ini yang menghimpunkan badan kebajikan, individu dan organisasi untuk memudahkan masyarakat membuat infaq, zakat dan wakaf secara mudah, cepat dan telus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Tajuddin Ahmad Idris berkata, E-INFAQ boleh dimuat turun pengguna telefon pintar Android dan IOS dengan mencari kata kunci einfaQ.

Katanya, E-INFAQ juga mengetengahkan konsep telus dan saksama serta aplikasi itu turut mempamerkan transaksi secara langsung untuk setiap pengeluaran atau kemasukan wang.

“Kami membangunkan platform aplikasi ini sebagai medium untuk menangani masalah menderma apabila sekarang ini terlalu ramai pihak memohon bantuan menggunakan media sosial seperti Facebook dan WhatsApp dan cara itu kurang efisien kerana proses pencarian dan pemberian dana lambat.

“Buat masa ini, kami menggunakan sistem pembayaran secara perbankan dalam talian bermula dari RM10 hingga RM10,000 dan ia boleh dilakukan terus ke organisasi dipilih. Pada suku kedua tahun ini, kami perkenalkan kaedah memberi sumbangan melalui kad kredit,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran E-INFAQ di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasinya Khairol Anam Muhamad Sarif dan personaliti televisyen, Amin Idris.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologinya Mohd Izairi Yamin berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 5,000 orang akan memuat turun E-INFAQ bagi suku pertama tahun ini dan 1,000 badan serta organisasi akan mendaftar di E-INFAQ.

Mohd Izairi berkata, syarikat membangunkan aplikasi E-INFAQ dengan kos pelaburan RM300,000 dan pihaknya akan memperkenalkan transaksi serendah RM1 tidak lama lagi sebagai usaha memupuk budaya bersedekah dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, menerusi E-INFAQ, individu yang ingin memohon bantuan untuk rumah terbakar, banjir, anak sakit dan sebagainya boleh menghubungi syarikat untuk mendaftar.

“E-INFAQ dicipta untuk menyelesaikan masalah memberi derma yang telus dan badan atau organisasi yang berdaftar akan melalui proses pengesahan. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.einfaq.com,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 8:03 AM