RUMAH yang diwakafkan untuk dijadikan Pusat Hemodialisis yang dibina menerusi projek myWakaf di Taman Alamanda, Jalan Sultan Omar.
RUMAH yang diwakafkan untuk dijadikan Pusat Hemodialisis yang dibina menerusi projek myWakaf di Taman Alamanda, Jalan Sultan Omar.
Sri Ayu Kartika Amri


INISIATIF myWakaf yang dilaksanakan oleh gabungan enam institusi perbankan Islam di negara ini dijangka mampu mengumpul sehingga RM10 juta nilai wakaf dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi myWakaf Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, myWakaf adalah platform yang disediakan bagi memberi peluang kepada orang ramai berwakaf dengan lebih mudah dan pantas secara dalam talian.

Katanya, kini orang ramai boleh terus menunaikan wakaf pada nilai serendah RM10 bagi projek pembangunan yang ditawarkan di dalam portal myWakaf.

“Portal myWakaf dilancarkan sempena Karnival Kewangan Terengganu 2019 dan buat masa ini terdapat enam institusi perbankan Islam yang terbabit dalam pelaksanaan inisiatif yang akan memaksimumkan pembangunan wakaf di seluruh negara ini.

“Buat masa ini terdapat enam projek yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri, iaitu projek Sekolah Menengah Seremban, Pusat Renovasi Mualaf, Perkhidmatan Hemodialisis Hospital Tunku Fauziah, Pusat Hemodialisis Maidam, Wakaf Bot dan Dana Wakaf Al-Bait,” katanya pada sidang akhbar di Karnival Kewangan Terengganu 2019 di sini.

Beliau berkata, pihaknya akan mempelbagaikan projek yang disediakan di portal myWakaf dari masa ke masa dan pelaksanaan dana wakaf adalah melalui projek yang dipersetujui berdasarkan sektor pendidikan, kesihatan, pelaburan serta pemerkasaan ekonomi.

Menurutnya, kelebihan portal myWakaf adalah di mana setiap projek berkenaan akan dipaparkan jumlah kutipan terkini bagi memudahkan pengguna.

“Terdapat status kemas kini secara automatik bagi setiap projek dalam myWakaf dan selain itu, resit pembayaran wakaf juga akan dikeluarkan oleh majlis agama negeri.

“Kami berharap dengan adanya myWakaf ini akan menarik lebih ramai masyarakat untuk melaksanakan wakaf kerana portal ini menampilkan aspek ketelusan, akauntabiliti dan kawal selia yang efektif dalam pengurusan kewangan dana wakaf,” katanya.

Institusi yang terbabit dalam pelaksanaan myWakaf adalah Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Malaysia Berhad.

Untuk keterangan lanjut boleh melayari www.mywakaf.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 8:29 AM