Lizam Ridzuan


CX-8 ciri SUV bersaiz penuh.
CX-8 ciri SUV bersaiz penuh.

JENAMA Mazda antara yang paling banyak menawarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) di negara ini melalui empat jenis model keseluruhannya.

Dalam setiap model, secara purata, terdapat empat varian yang boleh dipilih mengikut kemasan dan prestasi enjin.

Vroom kali ini memandu uji Mazda CX-8 varian 2.2L AWD. Ia adalah yang tertinggi untuk model ini yang diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2019.

Melihat kepada rekaan luaran, mungkin ada yang menyangka ia adalah model CX-5, namun jika diteliti, pasti akan terlihat perbezaan ketara.

Ini terutama pada bahagian hadapan melalui rekaan gril meskipun dengan bingkai ciri signatur Mazda, coraknya berbeza kerana ia didatangkan dengan kemasan krom garis melintang.

REKAAN konsep Kodo Mazda menyerlah dengan rim 19 inci.
REKAAN konsep Kodo Mazda menyerlah dengan rim 19 inci.

Ia juga dilengkapi lampu hadapan dengan fungsi tahap pencahayaan automatik dan lampu nyalaan siang (DRL) daripada LED (yang hanya menyala jika kenderaan bergerak).

Ini juga diserlahkan dengan lampu belakang LED, rel bumbung, pintu belakang elektrik, spoiler dengan lampu brek ketiga, ekzos berkembar dan padanan rim aloi 19 inci serta tayar 225/55 tampil bergaya.

Dengan panjang 4,900 milimeter (mm), lebar 1,840mm, tinggi 1,730mm dan jarak asas roda 2,930mm, ia menjadikan model ini selesa untuk muatan sehingga tujuh penumpang.

KOKPIT sentuhan kemasan elegan.
KOKPIT sentuhan kemasan elegan.

Menjengah ke ruang kabin, CX-8 menawarkan tiga pilihan konfigurasi tempat duduk kulit Nappa.

Semua kerusi boleh direbahkan mengikut keperluan pengguna jika mahu lebih ruang muatan atau membawa ahli keluarga.

KESELESAAN untuk enam penumpang.
KESELESAAN untuk enam penumpang.

Ruang dalamannya juga cukup kemas dengan papan pemuka gabungan krom, hitam piano dan ciri kayu.

Sistem infotainmennya membabitkan Mazda Connect bersaiz tujuh inci TFT LCD skrin sesentuh dengan ketersambungan Apple CarPlay dan fungsi navigasi, telefon, kamera undur dan paparan 360 darjah, radio serta tetapan lain.

KONSOL tengah baris kedua.
KONSOL tengah baris kedua.

Roda stereng kulit dengan pelbagai fungsi manakala panel meter analog dan digital pula direka dengan penuh unik bagi kemudahan maklumat perjalanan.

Pada konsol tengah, ada tuil gear dengan mod manual, brek parkir elektronik, butang larasan fungsi dan pembesar suara.

Paparan Pemanduan Aktif yang terpapar pada cermin hadapan warna penuh memberi pelbagai maklumat kepada pemandu untuk kemudahan dan fokus kepada jalan raya.

Sistem pendingin udara tiga zon memberikan keselesaan secara keseluruhan kepada penumpang. Ia juga boleh dilaras dengan indikasi digital.

Paling mengujakan ialah kuasa yang dialirkan daripada enjin diesel 2,191 cc Skyactiv-D, 16 injap empat silinder DOHC turbo yang menjana 188 kuasa kuda pada 4,500 rpm dan tork 450Nm pada 2,000 rpm.

CIRI lampu belakang LED dan ekzos berkembar.
CIRI lampu belakang LED dan ekzos berkembar.

Kotak gear enam kelajuan automatik Skyactiv Drive dengan mod manual dan sport memberikan kelancaran dan responsif ketika berada di lebuh raya.

Penulis juga memandu di jalan persekutuan dan kampung yang cukup memudahkan ketika memintas kenderaan tanpa sebarang 'kelewatan' tenaga.

Pengendalian terbaik juga ditawarkan dengan Stereng Bantuan Kuasa Elektronik (EPAS) dan topang hadapan MacPherson Strut juga belakang dengan Multi Link yang berfungsi baik sama ada ketika melewati permukaan tidak rata atau melayan selekoh.

Sistem 'G-Vectoring Control Plus' (GVC Plus) yang dibangunkan Mazda memberikan penulis kawalan terbaik dan pada masa sama, trenkuasa Skyactiv-D berfungsi memacu tenaga mengikut apa yang diperlukan melalui pacuan semua roda (AWD).

Secara keseluruhannya Mazda CX-8 ini adalah SUV kelas tersendiri dan sesuai bagi tujuan mobiliti buat yang mahukan ciri kenderaan pelbagai guna (MPV).

Reka bentuk Kodo yang menjadi asas kepada semua kenderaan Mazda jelas terlihat padanya yang tampil kemas dan minimalis namun premium.

Falsafah 'Jinba-Ittai' juga menyatukan pemandu dan kenderaan. Ia ciri yang diterapkan apabila penulis berasakan pengalaman itu dengan pengendalian yang mudah dan posisi memandu yang menyenangkan.

Sistem keselamatannya termasuk enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan Pengagihan Kuasa-Brek Elektronik (EBD).

Ia juga dilengkapi teknologi seperti Sistem Lampu Hadapan Adiptif (AFS), Lampu Utama LED (ALH), Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA).

Sistem kemasukan tanpa kunci dan akan terkunci automatik sebaik penulis menutup pintu dan melangkah keluar dari kenderaan juga amat memudahkan.

Melalui tangki bahan api diesel 74 liter, ia mampu menjangkau sehingga 600km, bergantung kepada corak pemanduan dan muatan.

Warna ditawarkan ialah Soul Red Crystal, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver Jet Black dan Machine Gray seperti unit pandu uji ini.

Mazda CX-8 2.2L AWD dijual pada harga RM206,265 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000km, yang mana lebih dahulu.

Selain 2.2L AWD, terdapat varian lain iaitu 2.5L 2WD MID, 2.5L MID Plus dan 2.5L 2WD High dijual pada harga RM173,038, RM178,428 serta RM193,742.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 6:22 AM