MAZDA CX-8.
MAZDA CX-8.
Lizam Ridzuan

MENAMPILKAN sentuhan premium untuk kenderaan utiliti sukan (SUV), Mazda CX-8 serba baharu kini diperkenalkan untuk pasaran tempatan oleh pengedar utamanya di negara ini Bermaz Motor Sdn Bhd.

Model yang diposisikan antara CX-5 dan CX-9 ini menawarkan tiga barisan tempat duduk untuk ciri praktikal dan ruang yang lebih baik.

Empat varian ditawarkan iaitu 2.5L 2WD MID, 2.5L 2WD MID Plus, 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD (Diesel) yang menjana 192 HP dan tork 258 Nm serta 188HP dan tork 450 Nm (Diesel).

Rekaan Kodo Mazda menjadi elemen utama keseluruhan CX-8 yang menampilkan gaya sofistikated terutama bahagian hadapan gril lebar dengan karakter garis melintang ciri signatur.

CIRI rekaan Kodo.
CIRI rekaan Kodo.

Untuk keselesaan sepanjang perjalanan kabin dibangun menggunakan sepenuhnya ruang yang ada untuk setiap penumpang duduk selesa termasuk baris ketiga sesuai buat individu pada ketinggian sehingga 170 sentimeter (sm).

Pintu belakang dengan bukaan yang luas sehingga 80 darjah untuk kemudahan urusan keluar masuk barangan serta penumpang terutama pada baris ketiga.

Mazda CX-8 serba baharu ditawarkan dengan tiga susun atur tempat duduk iaitu 2-3-2, 2-2-2 dan konsol tengah pada baris kedua melalui pilihan varian yang ditawarkan.

Semua varian dilengkapi kotak gear transmisi enam kelajuan automatik dengan mod manual serta Tambahan Kawalan G-Vectoring (GVC Plus) untuk kestabilan.

RUANG dalaman dengan 7 tempat duduk.
RUANG dalaman dengan 7 tempat duduk.

Ruang dalaman juga dengan kawalan suhu tiga zon dengan bahagian belakang boleh laras dan kerusi larasan elektrik untuk penumpang.

Untuk infotainmen ia dilengkapi Apple CarPlay dan Android Auto melalui paparan Mazda Connect bagi ketersambungan aplikasi lain seperti Waze, Google Maps, Spotify dan lain-lain.

Untuk keselamatan enam beg udara SRS, sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Tenaga Brek Elektronik, Sistem Kawalan Cengkaman dengan Bantu Brek, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantu Permulaan Bukit dan Bonet Menyerap Impak yang mengurangkan hentakan termasuk pejalan kaki.

SELESA dan fleksibel.
SELESA dan fleksibel.

Ciri lain ialah teknologi i-Activsense seperti Monitor Titik Buta dengan Amaran Trafik-Lintas Belakang (RCTA) dan Bantu Brek Bandar Pintar.

Dipasang di kilang pemasangan Inokom di Kulim Kedah ia ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver dan Jet Black.

Mazda CX-8 serba baharu dibuka untuk tempahan pada harga akan diumumkan tidak lama lagi dengan lima tahun waranti pengeluar atau 100,000km yang mana lebih dahulu. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:00 AM