Oleh Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Pinjaman peribadi dan kad kredit bukan saja mengundang padah, malah ia mampu mengakibatkan seseorang itu jatuh bankrap sekiranya tidak digunakan dengan betul.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Liew Ooi Hann berkata, ramai yang beranggapan bahawa dua produk kewangan itu hanya membawa kesan negatif tanpa mengetahui kebaikan melalui penggunaan yang tepat.

Beliau berkata, sekiranya orang ramai menggunakan pinjaman peribadi atau kad kredit mengikut cara yang tepat, ia sebenarnya dapat bertindak sebagai penyelesaian kewangan individu.

“Apa yang penting adalah pengetahuan meluas mengenai dua produk kewangan ini sebelum mula memohon atau memilikinya bagi tujuan tertentu.

“Sebenarnya pinjaman peribadi mahupun kad kredit adalah sangat berguna, namun ia mestilah digunakan secara berhemah dan tidak terlalu berlebihan atau untuk bermewah-mewahan.

“Sekiranya anda tidak mempunyai ilmu pengurusan kewangan dan merancangnya dengan baik, apa yang bakal terjadi adalah, anda akan terbeban dengan hutang dan akhirnya bankrap,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Mengulas lanjut mengenainya, Liew berkata, antara langkah penting yang perlu dilakukan oleh seseorang sekiranya mereka memerlukan pinjaman peribadi adalah untuk memilih produk yang tepat.

Menurutnya, untuk pemilihan produk yang bersesuaian dengan kemampuan adalah dengan membuat perbandingan institusi kewangan mana yang menawarkan kadar fedah terendah.

“Selain kadar faedah terendah, paling penting adalah pilih produk pembiayaan dengan jumlah pembayaran semula yang tidak membebankan.

“Apa yang menjadi masalah ketika ini adalah seseorang itu mudah untuk mendengar maklumat daripada satu pihak saja tanpa membuat kaji selidik mengenainya.

“Pastikan anda membuat pilihan yang tepat ketika membuat pinjaman, memilih yang tepat sebelum ia ‘membakar’ diri sendiri di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata, konsep yang sama turut terpakai untuk penggunaan kad kredit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:16 AM