NIKKI (tiga dari kiri)  pada pelancaran Oppo Reno 10x Zum, semalam. FOTO Salhani Ibrahim
NIKKI (tiga dari kiri) pada pelancaran Oppo Reno 10x Zum, semalam. FOTO Salhani Ibrahim
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Oppo Malaysia memperkenalkan telefon pintar terbaharunya iaitu Oppo Reno 10x Zum yang dilengkapi lensa telefoto 13 megapiksel (MP) bagi membolehkan peranti terbabit memiliki keupayaan untuk merakam gambar sehingga 10 kali zum hibrid dan 60 kali zum digital.

Model yang memiliki lensa utama 48MP dan lensa ultra lebar 8MP itu juga turut menggunakan penstabilan imej optik (OIS) yang membolehkan setiap gambar dapat dirakam dengan lebih baik dan jelas.

Pengarah Jenama Oppo Malaysia, Nikki Chen berkata, model terbaharu dalam siri Oppo Reno itu juga mampu memberikan pengalaman pengguna yang premium dan terbaik untuk pengguna melalui pelbagai fungsi standard unggul seperti skrin panorama penuh dan set cip Snapdragon 855 yang menyokong video 4K dan Dolby Atmos.

“Siri Reno akan menjadi tonggak penting kepada perniagaan kami tahun ini dan ia bakal membawa jenama identiti baharu Oppo dalam menjadi perintis, kekal muda dan menarik,” katanya pada pelancaran Oppo Reno 10x Zum, semalam.

Oppo Reno 10x Zum juga mampu memberikan kualiti fotografi terbaik kepada pengguna melalui penggunaan sensor Sony 48MP IMX586 yang menjadikan rakaman gambar pada waktu malam lebih mudah dan berkualiti.

Beliau berkata, Reno adalah latihan penjenamaan lengkap bagi syarikat dan memberikan kepada Malaysia dengan sebuah model yang unik dari aspek teknologi dan apa yang ditawarkan kepada pengguna.

“Tahun ini adalah tahun kelima bagi Oppo berada di pasaran Malaysia dan kami berjaya mengumpulkan seramai 4.4 juta pengguna di Malaysia. Selepas ini, kami akan membawakan trend baharu dan memacu inovasi dalam teknologi terkini berikutan perkembangan era baharu dalam hubungan pintar,” katanya.

Oppo Reno 10x Zum yang memiliki RAM 6GB dan storan 256 GB ini didatangkan dalam dua warna menarik iaitu Ocean Green dan Jet Black serta ditawarkan pada harga RM3,399.

Pelanggan boleh membuat tempahan prapesanan bermula 27 Mei hingga 17 Jun ini bagi mendapatkan model ini di mana mereka akan menerima hadiah pratempahan tambahan bernilai sehingga RM877 membabitkan Smarthone Gimbal Stabilizer, lanjutan setahun jaminan dan jaminan perlindungan skrin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 8:07 AM