AMINAR Rashid (tengah) bersama Presiden  Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, Datuk Ahmad Suhaimi Hashim (kiri) dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dr Zahari Husin (kanan) ketika sidan media pelancaran Perodua Bezza. FOTO Sairien Nafis
AMINAR Rashid (tengah) bersama Presiden Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, Datuk Ahmad Suhaimi Hashim (kiri) dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dr Zahari Husin (kanan) ketika sidan media pelancaran Perodua Bezza. FOTO Sairien Nafis
Nabil Basaruddin


Petaling Jaya: Perodua Bezza, model sedan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama negara mencatatkan tempahan memberangsangkan sebanyak 4,028 unit dalam tempoh lima hari sejak tarikh tempahan dibuka 16 Julai lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, ia adalah maklum balas yang begitu baik daripada orang ramai berikutan model sedan EEV itu melengkapi ciri-ciri pilihan kereta mampu milik.

Syarikat itu mensasarkan tempahan 7,600 unit sebulan.

Beliau berkata, dalam tempahan diterima 50 peratus adalah daripada varian 1.3L Advance dan 35 peratus bagi varian 1.3 X dan selebihnya adalah varian 1.0L AT/MT.

"Kami bersyukur rakyat Malaysia terus memberikan sokongan yang kuat kepada Perodua serta pelanggan setia yang terus bersama-sama," katanya pada sidang media pelancaran Perodua Bezza di sini hari ini.

Aminar berkata, Perodua Bezza adalah model yang terletak antara Perodua Axia dan Perodua Myvi dengan harga mampu milik tetapi dipenuhi dengan ciri-ciri keselamatan dan pemanduan bertaraf global.

Perodua Bezza adalah per­kataan Bahasa Malaysia ‘Beza’ kerana ia adalah mo­del sedan pertama Perodua yang berbeza daripada model-model yang dikeluarkannya

Selain itu, nama Bezza dipilih ialah bersempena dengan kewujudan 22 tahun Perodua dalam pasaran Malaysia, huruf ‘Z’ yang kelihatan se­perti nombor ‘2’ digandakan menjadikannya kepada Bezza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 6:56 PM