MADANI (kanan) menunjukkan MOU yang ditandatangani.
MADANI (kanan) menunjukkan MOU yang ditandatangani.
Azzman Abdul Jamal

SHAH ALAM: Kerajaan sehingga kini sudah menerima dua kertas cadangan untuk diteliti berhubung pembangunan projek kereta nasional ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari, berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini membuka peluang sehingga 15 Oktober ini kepada pihak berminat untuk menghantar kertas cadangan mereka sekiranya ingin terbabit dalam projek berkenaan.

“Kami akan menilai semua kertas cadangan yang dihantar dan melihat sekiranya cadangan itu menepati kehendak kerajaan sebelum beralih kepada pemberian insentif dan sebagainya.

“Sehingga kini kami sudah menerima dua (kertas cadangan), tetapi lebih baik sekiranya kita tunggu 15 Oktober ini untuk lihat jumlah cadangan yang dihantar,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PROTON Holdings Bhd (PROTON) dan MAI di sini, semalam.

Hadir sama, CEO PROTON, Dr Li Chunrong; Timbalan CEO PROTON, Datuk Mohd Radzaif Mohamed dan Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datin K Talagavathi.

Sebelum ini, laporan media menyatakan model pertama projek kereta nasional baharu akan mula berada di pasaran pada 2020, dengan model prototaip akan siap menjelang awal 2019.

Ditanya mengenai perkara itu, Madani berkata, semua cadangan berkenaan perlu diteliti dulu untuk mendapatkan kepastian.

“Kami nak lihat dulu cadangan mereka. Dalam cadangan berkenaan, memang mereka akan memberi jangkaan bila prototaip pertama atau produk akan dikeluarkan.

“Justeru, lebih baik kita tunggu sehingga semua cadangan diberi untuk mendapatkan kepastian berhubung projek kereta nasional baharu itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai MoU antara MAI dan PROTON, Madani berkata, ia bertujuan mengoptimumkan sumber bersama untuk digunakan bagi pembangunan pembekal komponen dan alat ganti PROTON supaya menepati standard global.

Katanya, usaha sama itu akan mengumpulkan sumber antara kedua-dua pihak bagi memaksimumkan penggunaan infrastruktur pembangunan automotif sedia ada terutama dalam bidang reka bentuk canggih, simulasi proses digital dan teknologi pengesahan lebih baik.

“Selepas mengadakan perbincangan bersama PROTON mengenai langkah meningkatkan keupayaan pembekal, seiring dengan pelancaran model baharu seperti X70, terdapat beberapa jurang yang perlu disi.

“Kerajaan menyediakan peruntukan RM4 juta dan usaha sama yang dijalankan antara PROTON dan MAI seperti mengadakan beberapa latihan serta program menerusi usaha sama ini adalah tindakan kami dalam membantu semua pembekal terpilih ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 4:29 AM