PENASIHAT PROTON Tun Dr Mahathir Mohamad melihat kereta PROTON Hibrid/Elektrik PROTON-UTM.
PENASIHAT PROTON Tun Dr Mahathir Mohamad melihat kereta PROTON Hibrid/Elektrik PROTON-UTM.

Cyberjaya: Malaysia dijangka bakal melancarkan dua jenama kereta elektrik pertama yang dihasilkan oleh pengeluar automotif tempatan dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Mohamad Madani Sahari berkata, dua pengeluar automotif sudah dikenal pasti membabitkan Proton Holdings Bhd (PROTON) dan satu lagi pengeluar peralatan asli (OEM) tempatan yang dijangka melancarkan kenderaan elektrik masing-masing pada suku keempat 2016 atau awal 2017.

Menurutnya, PROTON sudah lama membangunkan dan turut mempunyai jentera prototaip kenderaan elektrik itu, sebelum merancang untuk memulakan pengeluaran pada masa akan datang.

"Inisiatif lain, ada OEM tempatan sedang giat melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) kereta elektrik yang mana prototaip dijangka diperkenalkan antara September sehingga Oktober tahun depan.

"Syarikat OEM yang sudah pun bertapak di negara ini itu bakal melakukan proses pengeluaran produk berkenaan selepas setahun memperkenalkan prototaip mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman Cabaran Mekanik di Automechanika Kuala Lumpur 2015 di sini, semalam.

Cabaran itu diadakan antara 19 sehingga 21 Mac 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 6,000 peserta untuk merebut hadiah utama membabitkan wang tunai sehingga RM7,000.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Messe Frankfurt (Shanghai) Co Ltd, Fiona Chiew.

Sementara itu, Mohamad Madani berkata, infrastruktur stesen pengecas kenderaan elektrik akan ditambah baik bermula tahun hadapan dengan dana RM150 juta dalam Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014.

Menurutnya, sejumlah 125 sehingga 150 stesen pengecas akan ditempatkan di lebuh raya utama di negara ini serta kawasan tumpuan di sekitar bandar besar menjelang 2017.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:08 AM