IMRAN  (tengah) ketika sidang media bersama Ketua Pegawai Korporat MRCB, Amarjit Chhina (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MRCB, Ann Wan Tee selepas Mesyuarat Agung Tahunan MRCB di   Kuala Lumpur, semalam.
IMRAN (tengah) ketika sidang media bersama Ketua Pegawai Korporat MRCB, Amarjit Chhina (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MRCB, Ann Wan Tee selepas Mesyuarat Agung Tahunan MRCB di Kuala Lumpur, semalam.
Amir Hisyam Rasid

Kuala Lumpur: Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) tidak melihat sebarang impak signifikan daripada perubahan kerajaan terhadap projek dan aspek kewangannya, termasuklah pembangunan ikonik projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG).

Pengarah Eksekutifnya Mohd Imran Mohamad Salim berkata, syarikat mempelbagaikan tawaran produk dan hasilnya menjadikan sebarang impak daripada polisi kerajaan baru tidak akan memberi kesan signifikan.

“Secara umumnya, prospek MRCB tidak begitu terjejas dengan perubahan kerajaan. Cara kami menjalankan perniagaan adalah dengan memberi tumpuan kepada Pembangunan Berteraskan Transit (TOD) dan kami juga adalah pemaju urban.

“Skala pembangunan kami mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun. Kami juga mempunyai pelbagai jenis produk. Kami tidak hanya memberi tumpuan khusus kepada perumahan dan komersial,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunannya di sini, semalam.

Imran berkata, sebarang impak kepada HSR KL-SG tidak akan digambarkan dalam unjuran kewangan 2018.

Kira-kira 20 peratus daripada kontrak syarikat itu merangkumi projek kerajaan.

Sementara itu, menurutnya syarikat kini sedang dalam perbincangan dengan kerajaan bagi pelupusan konsesi Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL).

“Kami sedang dalam rundingan untuk mendapatkan formula yang adil dan telus bagi menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat akan bekerja dengan kerajaan baru untuk memuktamadkan formula perjanjian yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 1:25 AM