BERSELFIE dengan ‘Einstein’.
BERSELFIE dengan ‘Einstein’.
CERIA dapat bersantai bersama-sama.
CERIA dapat bersantai bersama-sama.
BERSAMA ‘pemimpin’ terkenal dunia.
BERSAMA ‘pemimpin’ terkenal dunia.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Bukan saja dijemput mengadakan persembahan untuk program Konsert Gempak Santai Harian Metro (HM) di i-City Shah Alam Sabtu lalu, bahkan artis yang terbabit turut menerima layanan istimewa apabila berpeluang merasai pengalaman mencuba dua permainan terbaru iaitu Typhoon dan Submarine serta meneroka lokasi tarikan istimewa, Red Carpet.

Arez, One dan Ameer daripada Forteen, Encik Mimpi serta anggota kumpulan Sixth Sense iaitu Adi Priyo, Gjie, Safuan, Athan dan Ayoy ternyata begitu girang dan teruja apabila diajak melawat ke tiga tempat ini.

Apatah lagi, jadual karier yang begitu padat membuatkan mereka sukar untuk berkunjung ke lokasi berkenaan. Justeru, inilah peluang untuk mereka merasai sendiri keseronokan dan kemeriahan yang berlangsung di i-City.

Perasaan kagum sudah mula keluar daripada mulut masing-masing sebaik melangkah masuk ke Red Carpet yang menempatkan barisan patung lilin terdiri daripada selebriti terkenal merangkumi tokoh negara, tokoh sukan, artis dan pelbagai lagi.

Antaranya, ialah patung lilin Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama; Presiden Russia, Vladimir Putin; Bapa Kemerdekaan Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, patung lilin Mr Bean (Rowan Atkinson), pasangan popular Brad Pitt dan Angelina Jolie, David Beckham dan Victoria serta John Travolta.

Rekaan patung lilin yang dihasilkan mengikut saiz fizikal sebenar setiap individu atau tokoh berkenaan memang menimbulkan keterujaan setiap pengunjung.

Begitulah juga dengan mereka yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar kenangan dengan patung lilin ini sehinggakan tidak sedar sudah satu jam mereka berada di situ.

Seterusnya, mereka dibawa pula masuk ke Submarine untuk merasai pe-ngalaman meneroka dasar lautan. Bentuk dalamannya membuatkan mereka berada dalam kapal selam dan ini sesuatu yang menarik.

Typhoon pula menjadi lokasi terakhir dikunjungi dan sekali lagi mereka merasai pengalaman menarik apabila meredah ribut kuat beserta hujan. Para artis ini tidak kisah untuk basah demi merasai keseronokan dan pengalaman menarik ini.

Anggota Forteen me-ngakui puas kerana dapat merasai sendiri keseronokan di i-City.

"Terima kasih kepada penganjur yang memberikan peluang ini. Ternyata i-City sememangnya lokasi yang perlu dikunjungi oleh setiap orang.

"Kami sebenarnya teringin hendak melawat ke beberapa lokasi lagi seperti Trick Art Museum dan House of Horror, malangnya masa sangat terhad. Mungkin selepas ini kami akan berkunjung lagi ke sini," katanya.

Begitu juga Encik Mimpi dan Adi yang mengakui seronok dibawa merasai pengalaman ini dan berharap pengunjung tidak melepaskan peluang masuk ke tempat berkenaan apabila ke i-City.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:02 AM