PUTERA Abdullah (tiga dari kanan) melawat depot MMSL di Arafah.
PUTERA Abdullah (tiga dari kanan) melawat depot MMSL di Arafah.
HM Digital

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menganjurkan lawatan khas yang disertai Timbalan Gabenor Wilayah Makkah, Putera Abdullah Bandar Abdul Aziz, kelmarin bagi meninjau persediaan dan kemudahan Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) untuk operasi haji tidak lama lagi.

Lawatan itu menyaksikan Putera Abdullah dan ahli utama Lembaga Pembangunan Wilayah Makkah (MRDA) melawat depot MMMSL di Arafah sebelum pergi ke stesen Arafah 3 dan diberi taklimat mengenai pengurusan serta pergerakan jemaah haji ketika operasi.

Pengarah Urusan Perkhidmatan Kejuruteraan dan Pengurusan Bersepadu Prasarana (Prime) bagi pejabat Arab Saudi, Ahmad Jamaluddin Salleh berkata, delegasi Putera Abdullah meluangkan masa mendengar taklimat mengenai pergerakan dan kekerapan kereta api serta pengurusan daripada pusat kawalan.

“Kami berbesar hati dengan minat ditunjukkan Putera Abdullah sepanjang sesi lawatan di mana ia mendapat liputan meluas daripada media tempatan terutama apabila beliau mengemas kini laman sosialnya ketika lawatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melengkapkan ujian kes simulasi menjelang 8 September ini berdasarkan status terkini iaitu dua minggu lebih awal daripada jadual ditetapkan dan seterusnya bersedia bagi Latihan Bersepadu menyeluruh dengan pihak berkuasa tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 8:40 AM