NG (kanan) memberi taklimat pada sidang media Karnival KPMM-Mapex, semalam.
NG (kanan) memberi taklimat pada sidang media Karnival KPMM-Mapex, semalam.
Kelana Jaya

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan jualan RM1 bilion rumah mampu milik sempena Karnival Perumahan Mampu Milik-Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (KPMM-Mapex) tahun ini.

Pengerusi Mapex Datuk Ng Seing Liong berkata, acara julung kali diadakan secara kerjasama antara REHDA dan KPKT itu bakal menyaksikan lebih 50 pemaju hartanah menawarkan 100,000 unit rumah mampu milik pada harga bermula RM130,000 hingga RM500,000.

“Penganjuran karnival ini diharap memberi kemudahan kepada bakal pembeli di mana ia menawarkan pelbagai pilihan perumahan mampu milik serta hartanah dengan diskaun dan promosi menarik di bawah satu bumbung,” katanya pada sidang media KPMM-Mapex, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perumahan Negara Jayaselan Navaratnam, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perumahan Negara Mohamed Ali Othman serta Pengerusi REHDA Selangor merangkap Jawatankuasa Penganjur Mapex Zulkifly Garib.

KPMM-Mapex akan diadakan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Ogos bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor yang bukan sekadar menawarkan promosi menarik, malah diskaun untuk pembeli Bumiputera.

Beliau berkata, REHDA yakin dengan sokongan jitu daripada pemaju, institusi kewangan dan kerajaan dapat membantu Mapex dalam menyediakan platform tepat kepada bakal pembeli yang sedang mencari rumah impian masing-masing.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan lebih 60 pemaju dan agensi kerajaan serta institusi kewangan menyertai acara itu kali ini.

“Saya menyeru orang ramai yang mencari dan ingin membeli rumah supaya merebut peluang ini dengan mengunjungi KPMM-Mapex kerana ada banyak pilihan pada harga berpatutan yang mungkin sesuai dengan bajet masing-masing,” katanya.

Antara pemaju hartanah yang mengesahkan penyertaan dalam KPMM-Mapex termasuk Glomac Berhad, IJM Land Berhad, MKH Berhad, UEM Sunrise Berhad, Mitraland Group, Matrix Concepts Holdings Berhad dan pelbagai agensi kerajaan di bawah Jabatan Perumahan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 3:52 AM