NG (dua kiri) bersama Timbalan Pengerusi Rehda, Kin Meng Chan (kiri) dan Pengerusi REHDA Selangor, Zulkifly Garib (dua kanan).
NG (dua kiri) bersama Timbalan Pengerusi Rehda, Kin Meng Chan (kiri) dan Pengerusi REHDA Selangor, Zulkifly Garib (dua kanan).
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mencadangkan kerajaan menyemak semula kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada dua atau tiga peratus bagi bahan utama untuk pembinaan rumah mampu milik dalam usaha mengurangkan kadar jualan kediaman di pasaran tempatan.

Bahan utama seperti simen, besi dan pasir yang dikenakan caj GST yang sama dilihat memberi kesan kepada harga kediaman terutama rumah mampu milik.

Bekas Pengerusi Rehda yang juga Pengerusi Penganjur Pameran Hartanah Malaysia (Mapex) Datuk Ng Seing Liong berkata pihaknya berharap kerajaan mengkaji semula kadar cukai itu dalam sektor pembinaan khasnya menerusi Belanjawan 2017 yang dibentangkan 21 Oktober depan.

Beliau berkata, banyak negara yang mengamalkan GST di seluruh dunia tidak mengenakan caj sama kepada semua sektor yang mana perkara itu boleh dilaksanakan kerajaan.

“Apabila bahan utama bagi pembinaan kediaman ini dikurangkan, ia bukan soal berapa peratus harga rumah kita boleh turunkan, tetapi sekurang-kurangnya pemaju boleh membina lebih banyak lagi rumah mampu milik.

“Selain itu, kami berharap institusi kewangan memberi pinjaman lebih mudah kepada orang ramai terutama pembeli rumah pertama dengan memperkenalkan sistem pembayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan secara berperingkat,” katanya selepas taklimat media Mapex 2016 siri kedua dan Bumi Mapex di sini, semalam.

Mapex 2016 siri kedua dianjurkan Rehda diadakan pada 21 hingga 23 Oktober depan di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur dan Bumi Mapex yang dikhaskan kepada hartanah kuota Bumiputera berlangsung pada 7 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Ng berkata, Bumi Mapex kini mendapat sambutan 21 pemaju hartanah bakal menawarkan pelbagai promosi jualan manakala harga jualan kediaman dijangka bermula dari RM250,000 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 7:23 AM