SOAM (kiri) pada sidang akhbar di Wisma Rehda, semalam.
SOAM (kiri) pada sidang akhbar di Wisma Rehda, semalam.
Nurul Husna Mahmud

Petaling Jaya: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) optimis tingkatkan jualan lebih banyak unit kediaman menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2020/2021, sekali gus memulihkan kembali ekonomi sektor hartanah.

Presiden Rehda, Datuk Soam Heng Choon berkata, pihaknya percaya dengan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia 2020 (HOC-Mapex) bermula 2 hingga 4 Oktober dapat merancakkan kembali sektor berkenaan.

"Dengan situasi pandemik Covid-19 ketika ini agak sukar kami meletakkan sasaran jualan sama ada segi jumlah unit mahupun nilai hartanah.

"Namun, kami sudah cukup gembira andai jumlah transaksi jualan direkodkan pada tahun ini mencecah 30 peratus daripada nilai hartanah yang dijual pada HOC tahun lalu," katanya.

Untuk rekod, HOC 2019 mencatatkan jualan 57,000 unit hartanah kediaman dengan nilai transaksi selepas diskaun mencecah RM37 billion.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran pameran itu, Soam berkata, 25 pemaju menawarkan pelbagai jenis hartanah kediaman termasuk mampu milik selama tiga hari berlangsung di Pusat Pameran Midvalley.

"HOC-Mapex 2020 adalah pameran hartanah pertama dianjurkan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Rehda untuk membantu pembeli hartanah berpotensi meninjau peluang lebih baik dalam milikan hartanah ketika tempoh sukar ini.

"Kita sedia maklum kempen HOC 2020-2021 juga berlangsung dalam satu tempoh luar biasa iaitu kira-kira satu tahun bermula 1 Jun hingga 31 Mei 2021, antara inisiatif kerajaan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:10 AM