HANA menunjukkan   produk haruman keluaran syarikatnya.
HANA menunjukkan produk haruman keluaran syarikatnya.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: AR Parfum, syarikat tempatan yang memasarkan minyak wangi diinspirasi oleh jenama terkenal antarabangsa bakal tampil dengan enam wangian dihasilkan oleh syarikat sendiri iaitu The Handler by Hana yang dijangka berada di pasaran tidak lama lagi.

Pengarah Pemasarannya, Hana Rusdi berkata, langkah terbabit seiring konsep memperluaskan perniagaan, apatah lagi selepas jenama AR Parfum kini semakin kukuh dan dikenali ramai.

“Hasil pemerhatian daripada jualan produk sedia ada, kami mendapati pelanggan mempunyai pelbagai citarasa atau bau kegemaran tersendiri. Oleh itu, untuk pengeluaran wangian syarikat, kami akan menghasilkan pelbagai bauan termasuk bauan yang ‘keras’, ‘manis’ dan ‘lembut’.

“Setakat ini, kami mempunyai 61 haruman dengan 38 jenama popular untuk golongan wanita apabila yang paling banyak mendapat sambutan jenama popular seperti Flora, Paris Hilton, Burberry London dan Harum Sedap Malam manakala 23 lagi untuk lelaki seperti Desire Red, Polo Sport dan Hugo Energise,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, walaupun ada banyak pilihan lain, namun produk keluaran syarikatnya mempunyai keistimewaan berbanding produk lain kerana mengandungi kadar parfum sehingga 65 peratus pati, kandungan vitamin C, tiada bahan organisma berbahaya, tiada bahan logam berat, tiada DNA haiwan yang membolehkan penggunaan ketika menunaikan solat serta pensijilan halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kami tidak meletakkan sasaran khusus untuk pengguna Islam sahaja, malah ia tidak terhad untuk mana-mana golongan masyarakat tanpa mengira peringkat umur daripada pelajar sekolah hinggalah warga emas.

“Selain mengeluarkan wangian untuk kegunaan orang ramai, kami juga menyediakan minyak wangi untuk kereta dan rumah serta mandian aroma terapi yang mampu memberi kesan menaikkan seri dan menghilangkan tekanan apabila titisan aroma ini dicampurkan bersama air dan garam bukit untuk mandi,” katanya.

Beliau berkata, perusahaan yang turut diuruskan bersama suami itu juga menerima sebarang bentuk tempahan untuk hantaran mahupun hadiah mengikut bajet pelanggan tanpa mengenakan caj perkhidmatan dengan nilai minimum sebanyak RM200.

Mengulas mengenai perancangan tahun ini, Hana berkata, pihaknya berhasrat menembusi pasaran dalam talian seperti Facebook melalui Antonnur Parfum dan Instagram di Parfum Vitamin C dengan lebih agresif memandangkan sebelum ini hanya fokus kepada segmen offline.

AR Parfum juga menyasarkan untuk memperoleh jualan RM30,000 dalam masa sebulan untuk tempoh sepanjang tahun ini berbanding RM10,000 dalam tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:53 AM