Teks dan gambar Rudy Syareme Sheriffudin


Gabungan pati kayu gaharu dan haruman bunga raya yang diadun bersama pokok nilam serta kayu santal membangkitkan haruman minyak wangi terbaru jenama OUD by Josh Lee, ciptaan seorang anak tempatan yang dilancarkan hujung bulan lalu.

Pemuda kelahiran Jalan Siam, Georgetown, Pulau Pinang, Joshua Lee Chun Yee, 38, membuktikan kebolehannya sebagai usahawan minyak wangi bukan sekadar omong kosong, sebaliknya memiliki jenama sendiri yang kini semakin mendapat perhatian ramai.

Segalanya bermula dua tahun lalu apabila dia memperkenalkan minyak wangi jenama George Town yang diambil sempena nama tempat kelahirannya yang berkonsepkan Warisan Melalui Wangian (Heritage Thru Scent).

Bermula dengan langkah pertama itu, dia terus mengorak langkah dengan menghasilkan OUD by Josh Lee yang dilancarkan hujung bulan lalu.

Joshua berkata, OUD adalah minyak wangi berasaskan kayu dan bahan semula jadi dari hutan hujan tropika di Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna serta sesuai digunakan sama ada untuk lelaki atau wanita.

Akuinya, minat terhadap minyak wangi serta haruman bermula sejak kecil sebelum dia mengorak langkah merencana kejayaan berteraskan usaha gigih dan ilmu pengetahuan.

“Sejak kecil, bapa saya Lee Yeow Lim sering menyembur cologne (minyak kelonyor) setiap hari mahu keluar rumah memandangkan keluarga menjalankan perniagaan menjual bahan untuk membuat kek.

“Bau pelbagai wangian serta perasa vanila, coklat dan strawberi termasuk wangian bunga cengkih dan buah pala itu akhirnya menjadi sumber inspirasi kepada saya untuk mencipta minyak wangi sendiri, sekali gus meneruskan ikatan dalam dunia minyak wangi dan kosmetik,” katanya.

Joshua memiliki ijazah dalam bidang kimia dari Universiti Putra Malaysia sebelum melanjutkan pengajian di Institut Superieur International du Parfum, de la Cosmetique et del’aromatique Alimentaire di Versailles, Perancis.

Selepas itu, dia melanjutkan pengajian dalam bidang European Fragrance and Cosmetic Master (EFCM) serta muncul satu-satunya anak Malaysia yang pernah belajar EFCM, selain muncul pelajar terbaik pada persidangan tahunan Intenational Federationof Essential Oils and Aroma Trade.

Selepas menamatkan EFCM iaitu kursus selama dua tahun di University of Versailles-Saint-Quentin-en-Yvilines di Perancis, dia pulang ke tanah air sebelum bekerja sebagai penganalisis pasaran bagi syarikat kosmetik dan minyak wangi.

Menurutnya, minyak wangi OUD by Josh Lee itu dicetuskan selepas mengunjungi pusat peranginan Bukit Bendera dan melihat pelbagai jenis pokok terutama kayu gaharu yang mendapat perhatian ramai berikutan harganya yang begitu mahal.

Cetusan idea itu diterjemahkan dalam campuran wangian pati kayu gaharu bersama haruman bunga raya yang diadun bersama pokok nilam dan herba kayu santal sebelum terhasilnya OUD by Josh Lee iaitu minyak wangi yang sesuai digunakan untuk golongan lelaki dan wanita.

“Mungkin pada peringkat awal baunya agak keras, tetapi lama-kelamaan ia semakin memikat apabila menusuk hidung dengan wangian yang mampu bertahan selama lapan jam. Selain itu, minyak wangi ini memiliki pengesahan ketulenan antarabangsa apabila diiktiraf Persatuan Wangian Antarabangsa (IFRA).

“Lebih penting, OUD ini turut mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan pelanggan Islam boleh menggunakannya tanpa perlu rasa was-was,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 1:57 PM