AINAB (tengah) bersama tetamu sempena SP-ICE 2019.
AINAB (tengah) bersama tetamu sempena SP-ICE 2019.
Fazurawati Che Lah


Seramai 500 pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) berkongsi idea pada seminar Smart Partnership - Industry for Career and Employability (SP-ICE 2019) yang bertemakan Synergy for Excellence di Dewan Muadzam Shah, PTSB, Kulim, Kedah baru-baru ini.

Pengarah PTSB, Yusma Yusof, berkata program SP-ICE kali ini memberi pendedahan kepada pelajar untuk memahami realiti sebenar dunia pekerjaan terutama graduan bidang Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) dalam mempraktikkan teori dan amali pada peringkat pekerjaan.

Beliau berkata, TVET memberikan penekanan kepada pendidikan berkonsep sepanjang hayat, iaitu pendidikan berterusan tanpa had umur pembelajaran tertentu.

“Pengajian yang berkaitan dengan TVET mampu membentuk kemahiran tertentu yang bersesuaian dengan keperluan semasa dalam pasaran pekerjaan.

“Pendidikan berasaskan TVET juga dapat melahirkan bilangan pekerja mahir yang

terlatih, mampu mencipta pekerjaan sendiri berbekalkan kemahiran diperoleh. Hal ini akan mengurangkan kebergantungan kepada kerja makan gaji,” katanya.

Katanya, program itu memberikan pendedahan dan manfaat berganda kepada pelajar, pendidik dan industri supaya bersedia dalam merealisasikan hasrat negara ke arah negara maju.

Kerjasama adalah pemangkin dalam melahirkan graduan berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran dalam memenuhi kehendak pasaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Selain membina ruang kerjasama erat antara institusi dengan akademia, PTSB berpeluang mendapat maklumat berkenaan perkembangan terkini sektor teknologi ke arah ‘pemindahan pengetahuan.’

“Ia selari dengan kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi ) 2015-2025 iaitu melahirkan graduan TVET berkualiti,” katanya.

Seminar itu dirasmikan Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Zainab Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 1:53 PM