JALINAN kolaborasi strategik dengan industri, rakan institusi dan agensi awam mahupun swasta untuk lahir graduan berdaya saing.
JALINAN kolaborasi strategik dengan industri, rakan institusi dan agensi awam mahupun swasta untuk lahir graduan berdaya saing.
Suliati Asri

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dikaitkan dengan melahirkan graduan yang berdaya saing dengan kemahiran yang dipelajari.

Namun, ramai yang tidak tahu TVET ini juga menitikberatkan soal pembangunan modal insan. Jadi, sejauh mana pembangunan modal insan melalui TVET ini?

Bagaimana pula TVET ini dapat melahirkan graduan yang mempunyai modal insan yang baik?

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Ts Zainab Ahmad berkata, TVET adalah kaedah pendidikan dan latihan yang menyediakan individu dari aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk berjaya dalam alam pekerjaan dan lazimnya menekankan amalan industri.

Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mendefinisikan TVET sebagai proses pendidikan selain daripada pendidikan umum yang membabitkan pembelajaran dalam bidang berkaitan teknologi dan sains, latihan kemahiran praktikal serta sikap, pemahaman dan pengetahuan mengenai pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi dan kehidupan sosial.

PELAKSANAAN pelbagai inisiatif strategik bersama pihak industri dan agensi melonjakkan permintaan graduan TVET.
PELAKSANAAN pelbagai inisiatif strategik bersama pihak industri dan agensi melonjakkan permintaan graduan TVET.

"Pelaksanaan TVET di Malaysia adalah sangat luas dan ia boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu yang pertama TVET Pra Pekerjaan menyediakan pelajar dengan kelayakan dan kemahiran sebelum memasuki alam pekerjaan.

"Kategori kedua ialah TVET dalam Pekerjaan menyediakan pendidikan dan latihan melalui program latihan semula (re-skilling) dan program peningkatan kemahiran (up-skilling).

"Manakala kategori ketiga ialah Pembelajaran Sepanjang Hayat menyediakan latihan kemahiran untuk kumpulan sasar dengan membangunkan bakat dan menjana pendapatan. Kumpulan sasar ini terdiri daripada industri, komuniti, agensi kerajaan, badan berkanun dan GLC," katanya.

Zainab berkata, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) juga meletakkan TVET sebagai 'game changer' atau pemacu perubahan.

Ini kerana menurutnya, TVET mempunyai kesan rantaian pengganda (multiplier chain) terutama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan yang juga adalah sektor peneraju ekonomi negara.

"Dalam RMKe-11, kerajaan juga menganggarkan 1.5 juta peluang pekerjaan baharu berkaitan TVET diwujudkan dalam pelbagai sektor utama ekonomi negara menjelang 2020.

"Selain itu, keutamaan diberi kepada jaminan kualiti graduan TVET yang dihasilkan oleh institusi dan penyedia TVET.

"Sehubungan itu, inisiatif yang berjaya dilaksanakan dalam RMKe-11 adalah memperkenalkan Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTA) yang digunakan oleh institusi dan penyedia TVET, menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama (Joint Technical Committee) antara MQA dan JPK serta menambah baik laluan lepasan TVET untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

KEWUJUDAN TeCC dan ruang pembelajaran secara kreatif serta inovatif memudahkan pelajar memperluaskan kemahiran.
KEWUJUDAN TeCC dan ruang pembelajaran secara kreatif serta inovatif memudahkan pelajar memperluaskan kemahiran.

Mengulas lanjut, Zainab berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 juga mengiktiraf TVET sebagai salah satu pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif.

Menjelang 2030, kerajaan menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi masa hadapan dan 60 peratus lepasan SPM memasuki aliran TVET.

Hasrat kerajaan bertujuan mengurangkan permasalahan ketidakpadanan kemahiran dan kebergantungan kepada buruh asing.

"Kadar kebolehpasaran graduan TVET adalah cemerlang iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan untuk tiga tahun berturut-turut (melebihi 90 peratus) bermula dari 2017 hingga 2019.

"Antara faktor penyumbang kejayaan ini adalah melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik bersama pihak industri dan agensi yang melonjakkan permintaan graduan TVET melalui program seperti Structured Internship (SIP), Reskilling, Upskilling & Crossskilling, dan Finishing School," katanya.

Selain itu, kata Zainab, elemen keusahawanan turut menyumbang kepada penghasilan graduan TVET berkualiti, yang mana dalam tempoh tiga tahun ini kita berjaya menghasilkan lebih 6,000 usahawan dalam kalangan graduan politeknik dan kolej komuniti.

"Menggilap potensi di persada antarabangsa turut menjadi perhatian bagi meningkatkan kualiti graduan TVET.

"Sepanjang 2018 hingga tahun lalu, hampir 300 pelajar politeknik dan kolej komuniti melakar kejayaan dan kemenangan menerusi pelbagai pertandingan kemahiran, inovasi dan sukan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Manakala 150 pelajar pula berpeluang menimba ilmu dan pengalaman melalui pelbagai wadah pertukaran pelajar antarabangsa seperti SEATVET Student Exchange Programme, Learning Express Programme (LeX) dan Global Work Integrated Learning (GWIL)," katanya.

TVET melahirkan graduan berdaya saing dengan kemahiran yang dipelajari.
TVET melahirkan graduan berdaya saing dengan kemahiran yang dipelajari.

Mengulas bagaimana TVET dapat melahirkan graduan yang mempunyai modal insan yang baik, Zainab berkata, pada 18 Disember tahun lalu, Jemaah Menteri bersetuju dengan penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET).

Menurutnya, penubuhan MTVET itu adalah manifestasi kerajaan dalam menambah baik penyelarasan ekosistem TVET negara.

"MTVET adalah badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan hala tuju TVET negara.

"Penubuhan MTVET adalah manifestasi Kerajaan dalam memastikan laluan TVET sebagai agenda nasional dengan menambah baik penyelarasan ekosistem TVET negara serta sokongan padu kementerian dan agensi berkaitan TVET termasuk daripada pihak industri dalam dan luar negara," katanya.

Dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, MTVET ini juga adalah badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan hala tuju TVET negara hasil daripada pertimbangan isu dan cabaran secara menyeluruh.

Dalam masa terdekat, MTVET akan memperhalusi isu seperti ketidakselarasan tadbir urus TVET, kekurangan akses pelajar dan komuniti kepada program TVET, penggunaan fasiliti yang tidak optimum, kurang kerjasama dan pengiktirafan daripada pihak industri, sumber pembiayaan pelajar yang terhad, penerimaan masyarakat yang rendah terhadap program TVET dan persepsi negatif ibu bapa terhadap peluang kerjaya bidang TVET bagi anak-anak mereka.

"Bagi saya, MTVET datang kepada kita tepat pada masanya, daripada mandat MTVET, melalui 'collective wisdom of the leaders', ia akan memacu arah kita untuk melakukan 'the collective efforts' secara bersatu dan terlaras agar negara akan mendapat modal insan TVET yang bertepatan dalam pembangunan negara secara berkesan.

"Selain itu, pihak industri pula akan dibekalkan dengan pekerja yang kompeten dalam sektor berkaitan sepadan dengan keperluan teknologi industri semasa," katanya.

"MTEVT juga membolehkan graduan TVET mendapat kebolehpasaran yang tinggi dan menerima pendapatan setimpal dengan kemahiran dan kelayakan yang diperoleh.

"Mereka juga mendapat akses yang sama dengan graduan aliran lain untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dan institusi penyedia TVET pula akan menerima sokongan sumber yang bersesuaian untuk menghasilkan kuantiti dan kualiti graduan TVET yang memenuhi permintaan industri," tambahnya.

Sebagai institusi TVET yang menjalankan program pengajian berlandaskan industri, politeknik dan kolej komuniti sentiasa menjalin kolaborasi strategik dengan industri, rakan institusi pendidikan lain, agensi awam mahupun swasta serta komuniti setempat.

Menurut Zainab, pihaknya juga sudah melaksanakan kolaborasi strategik dengan lebih 1,000 syarikat di pelbagai peringkat dan program.

"Mengambil contoh di politeknik dan kolej komuniti, kita sudah membangunkan dan menambah baik kurikulum program pengajian dengan menerapkan elemen 4IR, Green Technology, dan Sustainable Development Goals (SDG).

"Ini bagi memastikan program pengajian kita kekal relevan sejajar keperluan industri dan perubahan global.

"Selain 13 memperkasakan Outcome-based Education (OBE), melalui kaedah Work Based Learning (WBL) yang membabitkan industri dalam proses pembelajaran dan pengajaran, kita juga sudah mula mereka bentuk dan menggunakan kurikulum bersepadu (integrated curriculum) melalui kerangka Conceive, Design, Implement and Operate (CDIO) dalam beberapa program pengajian," katanya.

Kata Zainab lagi, aspek penyampaian kurikulum juga amat penting bagi memastikan institusi ini tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi terkini.

"Justeru, beberapa inisiatif diambil bagi mengadaptasi teknologi dalam pembelajaran dengan mewujudkan Technology Enabled Collaborative Classroom (TeCC) serta menambah baik ruang pembelajaran secara kreatif dan inovatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 7:00 AM