SAINZ menunjukkan trofi selepas memenangi GP Australia, semalam. FOTO REUTERS
SAINZ menunjukkan trofi selepas memenangi GP Australia, semalam. FOTO REUTERS
Reuters

Melbourne: Ratusan penyokong berpakaian merah Ferrari membanjiri Lygon St di Melbourne untuk berpesta di restoran Itali sehingga pagi Isnin selepas Carlos Sainz mencipta kejutan memenangi Grand Prix (GP) Australia.

Pasukan Formula Satu (F1) itu pasti berharap pesta itu akan berterusan di Suzuka dalam tempoh dua minggu lagi selepas Albert Park memberi nafas baharu dalam kejuaraan pengeluar itu.

Kejayaan Sainz dan rakan sepasukan, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan 1-2 di Australia mengurangkan jurang pendahuluan Red Bull kepada hanya empat mata bagi kedudukan pemandu serta pengeluar dan ia adalah perubahan momentum besar selepas penguasaan Max Verstappen di Timur Tengah.

Ferrari mengambil kesempatan berikutan masalah brek terbakar menimpa Verstappen di Albert Park, sekali gus mengakhiri kejayaan Red Bull mengelak daripada gagal menamatkan perlumbaan (DNF) dalam tempoh dua tahun.

Ferrari meninggalkan Melbourne dengan gembira berbanding ketika jentera SF-24 mereka gagal menandingi Red di Arab Saudi dan Bahrain.

"Hujung minggu ini menjadi bukti terbaik betapa kami menjadikan semuanya lengkap bersama-sama dan saya tidak pasti sama ada dapat melakukannya pada setiap hujung minggu dan kami memberi tekanan kepada Red Bull," kata bos Ferrari, Frederic Vasseur.

"Apabila mereka tertekan, mereka akan turut melakukan lebih banyak kesilapan. Kami akan terus ke arah ini."

Selepas juara dunia tiga kali, Verstappen mendahului podium di depan rakan sepasukannya, Sergio Perez dalam dua perlumbaan awal musim ini, Red Bull berdepan masalah ketika penyediaan pasukan di Melbourne.

Bos Red Bull, Christian Horner berkata, Red Bull gagal mengukuhkan cengkaman dengan situasi litar sedangkan Ferrari melakukannya dengan jelas.

"Saya fikir, keadaan permukaan secara semulajadi turut menjadi faktor. Saya fikir cengkaman tayar di sini adalah sesuatu yang ditumpukan Ferrari untuk perlumbaan ini," katanya.

Ferrari tidak akan mengetahui kedudukan sebenar mereka sehinggalah benar-benar bersaing dengan Verstappen, yang menang 19 daripada 22 perlumbaan pada musim lalu dan sudah pasti bersemangat kembali ke trek di GP Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 11:55 AM