SAINZ buktikan kemampuan ketika Verstappen gagal menamatkan perlumbaan. FOTO AFP
SAINZ buktikan kemampuan ketika Verstappen gagal menamatkan perlumbaan. FOTO AFP
Reuters

Melbourne: Pelumba Ferrari, Carlos Sainz memenangi Grand Prix Australia sebentar tadi iaitu dua minggu selepas dia menjalani pembedahan apendiks tatkala juara dunia dari Red Bull, Max Verstappen gagal menamatkan perlumbaan buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Sainz, satu-satunya pemandu bukan Red Bull yang memenangi perlumbaan musim lalu, menangkis asakan rakan sepasukan Charles Leclerc sebelum berlakunya kemalangan di pusingan terakhir membabitkan pemandu Mercedes, George Russell sehingga kereta keselamatan masuk dan ia memudahkan laluan buat pemandu Sepanyol itu meraih kemenangan.

"P1 baby, P1 baby, sungguh menakjubkan. Kehidupan ada kalanya seperti roller coaster," kata Sainz, yang tempat duduknya di Ferrari akan diambil oleh Hamilton tahun depan.

"Sangat gembira, saya berasa sangat hebat di luar sana. Sudah tentu ia tidak mudah secara fizikal, tetapi saya bernasib baik saya lebih kurang bersendirian di luar sana dan saya boleh menguruskan rentak saya."

Lando Norris dari McLaren berada di tempat ketiga, menggagalkan harapan rakan sepasukannya Oscar Piastri untuk meraih podium pertama pada perlumbaan F1.

Verstappen, yang muncul juara di Bahrain dan Arab Saudi, bermula di petak pertama untuk kali ketiga musim ini tetapi keluar awal dari saingan pada pusingan keempat dengan masalah brek ketika api keluar dari bahagian belakang kanan keretanya.

Ia adalah DNF (gagal menamatkan perlumbaan) pertama Verstappen sejak keluar dari perlumbaan di Albert Park pada perlumbaan 2022.

Juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton juga terpaksa terkeluar awal awal selepas bermula di petak ke-11 kerana mempamerkan aksi kelayakan di Melbourne terburuk sejak 2010.

Rakan sepasukannya Russell melengkapkan hari yang suram untuk Silver Arrows dengan terbabas pada selekoh enam dan merempuh penghadang menyebabkan jenteranya remuk teruk sekali gus kereta keselamatan dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 2:16 PM