PELUMBA Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia pada sesi latihan bebas MotoGP sempena GP Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO Osman Adnan & Asyraf Hamzah
PELUMBA Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia pada sesi latihan bebas MotoGP sempena GP Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO Osman Adnan & Asyraf Hamzah
Syazwan Msar


Sepang: Penyandang juara dunia Francesco Bagnaia membuktikan dia sukar digugat apabila menyambar petak utama Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.

Pelumba Ducati Lenovo Team itu berjaya mencatat masa sepusingan terpantas sekali gus meninggalkan pencabar terdekatnya Jorge Martin yang berlumba untuk pasukan Pramac Racing.

Bagnaia mengesahkan petak utama miliknya selepas mencatatkan masa sepusingan 57:491 saat(s) sekali gus memberi tekanan kepada Martin yang kini dipisahkan 13 mata dalam penentuan kejuaraan keseluruhan MotoGP.

Menurut Bagnaia, persaingan daripada pelumba lain cukup hebat dengan masing-masing mencipta masa sepusingan 'luar biasa' dalam usaha merebut petak utama pada perlumbaan MotoGP Malaysia.

"Pada saat akhir sudah pastinya adalah perlumbaan penting dengan kebanyakan pelumba mencatatkan masa sepusingan luar biasa.

"Perkara penting adalah berada di petak hadapan sekali sudah pastinya adalah sangat menakjubkan dan perlu terus positif untuk perlumbaan kelak," katanya.

Nasib tidak menyebelahi Martin pada sesi kelayakan hari ini apabila terbabit kemalangan namun tidak mengalami kecederaan dan masih mampu untuk bersaing esok.

Ketika ini, Bagnaia mendahului carta kejuaraan dunia dengan memungut 389 mata manakala Martin ditempat kedua(376 mata) diikuti pula Marco Bezzecchi dari pasukan Mooney VR46 Racing(310 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 1:52 PM