BAGNAIA pada sidang media menjelang Grand Prix Argentina. FOTO AFP
BAGNAIA pada sidang media menjelang Grand Prix Argentina. FOTO AFP
AFP

Termas de Río Hondo: Juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia menyasarkan kemenangan pertama Ducati di Argentina, awal pagi Isnin ini ketika jumlah pelumba berkurangan selepas empat daripadanya mengalami kecederaan ketika pusingan pembuka tirai di Portugal.

Bagnaia memperoleh mata maksimum di Algarve dengan memenangi kedua-dua perlumbaan pecut dan perlumbaan utama.

Pelumba Itali berusia 26 tahun itu kekal tenang ketika beberapa seteru utamanya terbabit dengan kemalangan.

Rakan sepasukannya di Ducati, Enea Bastianini tidak beraksi di Argentina selepas mengalami patah tulang belikat.

Pelumba veteran Sepanyol, Pol Espargaro berdepan rehat panjang selepas mengalami kecederaan paru-paru, patah tulang rahang dan tulang belakang selepas mengalami kemalangan ketika sesi latihan.

Juara kelas perdana enam kali, Marc Marquez pula diketepikan selepas menjalani pembedahan kelima dalam tempoh kurang tiga tahun susulan berlanggar dengan dengan pelumba Aprilia, Miguel Oliveira, yang turut tidak beraksi di Argentina.

Bagi Bagnaia, Isnin ini adalah peluang bagi melakar kemenangan pertama di Termas de Rio Hondo untuk Ducati.

Ia adalah salah satu daripada tiga litar di mana pasukan Itali itu tidak pernah meraih kemenangan.

"Saya sangat ingin tahu apa yang berlaku kerana Ducati tidak pernah menang di sini. Kami belum menguji di litar tetapi saya pasti kami boleh menunjukkan potensi kami.

"Minggu lalu semuanya sempurna, dan saya berharap perkara yang sama akan berlaku di sini. Walau apa pun saya kekal optimis dan yakin boleh beraksi dalam apa jua keadaan," kata Bagnaia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 9:49 AM