BAGNAIA meraikan kejayaannya di pentas podium GP Australia minggu lalu. FOTO AFP
BAGNAIA meraikan kejayaannya di pentas podium GP Australia minggu lalu. FOTO AFP
AFP

Sepang: Pelumba Itali, Francesco Bagnaia boleh mengesahkan mahkota kejuaraan dunia MotoGP buat kali pertama hujung minggu ini di Grand Prix (GP) Malaysia.

Pelumba Ducati itu merampas kedudukan teratas daripada Fabio Quartararo di Australia, minggu lalu selepas pelumba Perancis itu gagal menamatkan perlumbaan sekali gus menyukarkannya untuk mempertahankan gelaran juara dunia yang dimenanginya musim lalu.

Pada satu ketika, Quartararo yang beraksi bersama Yamaha, pernah selesa dengan kelebihan 91 mata berbading pesaingnya.

Tetapi Bagnaia kini mendahului kejuaraan dengan 14 mata ketika berbaki dua perlumbaan dan boleh merangkul gelaran dunia, Ahad ini jika dia menang di Sepang dan Quartararo menduduki tempat keempat atau lebih rendah.

"Saya tidak mahu memperkatakannya sekarang, saya hanya mahu terus bertenang. Kami hanya fokus pada perlumbaan seterusnya.

"Terus berusaha dan saya tidak mahu memikirkan mengenai kejuaraan," kata Bagnaia, 25, yang menduduki tempat kedua musim lalu dalam perebutan kejuaraan di belakang Quartararo.

Pelumba Sepanyol, Aleix Espargaro (Aprilia) dan seorang lagi pelumba Itali, Enea Bastianini (Gresini Racing) secara matematik juga masih berpeluang merebut gelaran juara dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 12:59 PM