AFP

Shanghai: Nico Rosberg (gambar) enggan mendabik dada selepas melebarkan permulaan cemerlang pada musim Formula Satu kali ini dengan kemenangan di Grand Prix China.

Pelumba Jerman itu menjadi pemandu ke-10 menang tiga perlumbaan berturut-turut di Shanghai, sembilan pelumba sebelumnya mara untuk menjulang gelaran dunia.

Rosberg segera menafikan statistik itu, merujuk kepada pencabarnya di Mercedes Lewis Hamilton, yang mempunyai keupayaan untuk memintas biarpun ketinggalan jauh.

“Sembilan pelumba itu tidak mempunyai Lewis Hamilton sebagai rakan sepasukan,” kata Rosberg kepada media selepas melebarkan penguasaan ke atas Hamilton kepada 36 mata.

“Masih banyak perlumbaan untuk musim paling panjang, 18 perlumbaan lagi. Menang tiga perlumbaan pertama memang menakjubkan, tapi saya tidak menjangka akan melakukannya,” katanya memberitahu perlumbaan berikutnya di Russia pada 1 Mei ini begitu penting.

“Kemenangan sesuatu yang hebat, itulah matlamat saya berlumba. Namun, Lewis Hamilton adalah rakan sepasukan saya, juara dunia tiga kali, sukar ditewaskan pada dua atau tiga musim kebelakangan. Lewis tidak akan mengalah.”

Rosberg muncul pelumba keempat menang enam perlumbaan berturut-turut menyertai Sebastian Vettel (sembilan), Alberto Ascari (tujuh) dan Michael Schumacher (enam), selepas menjuarai tiga perlumbaan terakhir 2015.

Hamilton, yang masih belum meraih kemenangan sejak menjulang gelaran dunia ketiga di Texas Oktober lalu, bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh selepas bermula dari petak terakhir berikutan kerosakan mekanikal sewaktu kelayakan.

Pelumba Britain itu memadam kelebihan 29 mata dimiliki Rosberg untuk menjuarai kejuaraan 2014, memberi peringatan buat Rosberg mengenai ancaman garaj Mercedes bersebelahan.

“Ia tidak menyeronokkan berbanding sebelumnya,” kata Hamilton. “Terdapat banyak perasaan berbeza apabila anda melihat musim anda tidak menjadi, tapi ia sebahagian daripada perjalanan dan ia menjadikan kami lebih kuat.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:05 AM