JUARA Formula Satu dunia, Max Verstappen melayan peminat menjelang Grand Prix Australia. FOTO Reuters
JUARA Formula Satu dunia, Max Verstappen melayan peminat menjelang Grand Prix Australia. FOTO Reuters
AFP

Melbourne: Juara dunia, Max Verstappen mengharapkan minggu yang sempurna selepas kemenangan di Arab Saudi, tetapi agak bimbang dengan litar Albert Park yang diubah suai pada ketika perlumbaan Formula Satu kembali ke Melbourne selepas dua tahun.

Pemandu Red Bull berusia 24 tahun itu lega apabila muncul pemenang dalam pertarungan sengit dengan pemandu Ferrari, Charles Leclerc di Jeddah, bulan lalu.

Ia adalah kemenangan memuaskan hati buat Verstappen selepas Leclerc yang berasal dari Monaco memenangi perlumbaan pembuka musim di Bahrain, manakala pemandu dari Belanda itu tidak menamatkan perlumbaan.

Permusuhan itu berterusan apabila perlumbaan ketiga berlangsung sambil juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton terdesak mempamerkan peningkatan bersama Mercedes di trek yang menyaksikan dia berada di petak depan sebanyak lapan kali, termasuk enam edisi terakhir.

Semua pemandu akan berdepan pengalaman baru apabila pengubahsuaian besar dilakukan di Albert Park sejak kali pertama ia menganjurkan grand prix pada 1996.

Permukaan litar diturap semula manakala tujuh selekoh diubah suai dan dua selekoh dibuang menjadikan jumlah keseluruhan 14 selekoh, sekali gus memberi peluang untuk memintas dan catatan masa sepusingan lima saat lebih pantas berbanding sebelum ini.

"Agak menarik apabila melihat litar berwajah baru dan mereka membuat perubahan besar terutama selekoh keenam apabila banyak perubahan dilakukan," kata Verstappen, yang ketinggalan 20 mata di belakang Leclerc.

"Banyak kesempatan memintas sekarang dan ia sesuatu yang positif. Memang menarik untuk melihat bagaimana kereta bertindak Australia dan litar kadang-kala berhabuk. Saya harap pasukan kami melalui minggu yang lancar."

Verstappen membuat penampilan dalam Formula Satu di Melbourne pada 2015 bersama pasukan junior Red Bull iaitu Toro Rosso.

Hamilton yang memenangi perlumbaan paling banyak berbanding pemandu lain dalam Formula Satu dua kali muncul juara di Australia, tetapi gagal menaiki podium sejak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 11:53 AM