RAFAEL Nadal. FOTO Reuters
RAFAEL Nadal. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Rafael Nadal menganggap keputusan Wimbledon untuk melarang pemain Rusia dan Belarus daripada beraksi di kejohanan itu adalah tidak adil, kata legenda tenis Sepanyol itu kepada pemberita di Madrid, hari ini.

Pemenang Grand Slam 21 kali itu percaya Kelab Seluruh England memilih 'pilihan paling drastik', dan berharap siri jelajah itu dapat mencari jalan penyelesaian lebih baik.

Wimbledon dikritik hebat oleh kedua-dua ATP dan WTA serta pemain seperti Nadal dan Novak Djokovic kerana melaksanakan larangan itu berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Belarus dianggap sebagai sekutu Rusia dan membenarkan tentera Rusia untuk menyerang Ukraine dari seberang sempadan mereka.

Penggantungan itu menyaksikan pemain seperti Daniil Medvedev dan sensasi Belarus, Aryna Sabalenka yang mara ke separuh akhir Wimbledon tahun lalu tidak dapat beraksi.

"Ia tidak adil untuk rakan saya di Rusia," kata Nadal.

"Dalam erti kata itu, bukan salah mereka apa yang berlaku pada ketika ini. Saya harap ia tidak berakhir seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 9:46 PM