LECLERC mencatat masa terpantas pada hari kedua sesi ujian pramusim. FOTO EPA
LECLERC mencatat masa terpantas pada hari kedua sesi ujian pramusim. FOTO EPA
Reuters

Barcelona: Charles Leclerc dari Ferrari mencatat masa terpantas pada hari kedua ujian pramusim Formula Satu (F1) di Barcelona.

Ia sekali gus membuktikan pasukan dari Itali itu bersama seteru mereka, McLaren mampu menjadi pencabar pada permulaan era baru sukan berkenaan.

Leclerc mencatat masa 1 minit 19.689 saat (s), selepas mengambil alih jentera daripada rakan sepasukannya, Carlos Sainz yang beraksi di sebelah pagi.

Catatan berkenaan membolehkannya mengatasi rakan senegara, Pierre Gasly dari Alpha Tauri manakala pemandu McLaren, Daniel Ricciardo mencatat masa ketiga terpantas.

Sebelum itu pada sesi sebelah pagi, pelumba kelahiran Australia itu mencatat masa terpantas, mengulangi persembahan yang dilakukan rakan sepasukannya, Lando Norris semalam.

Bagaimanapun, catatan masanya dipintas sebaik sesi bersambung selepas rehat tengah hari, sekali gus meletakkan Ferrari di tangga teratas hasil bantuan Sainz yang menduduki tempat kelima.

"Sasaran kami adalah untuk memandu sebanyak kali yang mungkin bagi menyelesaikan seberapa boleh jenis ujian dan ia berjaya dilakukan.

"Sekali lagi, kami tidak boleh berpuas hati kerana menduduki tempat pertama dalam sesi ini tidak memberi sebarang erti," kata Leclerc.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 2:20 PM