KIMI Raikkonen. FOTO AFP
KIMI Raikkonen. FOTO AFP
AFP

Zandvoort: Pelumba Finland, Kimi Raikkonen positif Covid-19 sekali gus tidak dapat beraksi di Grand Prix Belanda esok, umum pasukannya Alfa Romeo dan penganjur perlumbaan.

Sementara itu pelumba Red Bull Max Verstappen, dipanggil oleh steward berikutan tindakannya ketika bendera merah dalam sesi latihan kedua semalam.

Juara dunia 2007, Raikkonen, 41, yang akan bersara daripada Formula Satu (F1) akhir musim ini, akan digantikan oleh pemandu simpanan Alfa Romeo Robert Kubica di Zandvoort.

"Kimi tidak mempunyai gejala dan dalam keadaan yang baik. Dia kini diasingkan di bilik hotelnya. Pasukan mendoakan dia segera sembuh.

"Pasukan sudah memeriksa kontak rapat dan tidak menjangkakan sebarang impak kepada operasi kami sepanjang hujung minggu," kata Alfa Romeo.

Pemandu Poland, Kubica, 36, memenangi Grand Prix Kanada pada tahun 2008 tetapi kariernya terjejas berikutan kemalangan ketika Rally Andorra pada tahun 2011 yang menyebabkan tangan kanannya cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 10:14 PM