ROSSI perlu bangkit pada perlumbaan seterusnya. FOTO AFP
ROSSI perlu bangkit pada perlumbaan seterusnya. FOTO AFP
Agensi

Sachsenring: Selepas berdepan kekecewaan di Catalunya, Valentino Rossi berharap dapat mempamer aksi kompetitif di Sachsenring hujung minggu ini, salah satu daripada baki dua pusingan perlumbaan sebelum dia memutuskan masa depannya.

Sensasi Itali itu sebelum ini berkata dia akan membuat keputusan sama ada akan terus berlumba untuk musim 2022 ketika tempoh rehat musim panas dengan keputusan semasa menjadi pertimbangan utamanya.

Malangnya bagi juara dunia sembilan kali ini, dia gagal mempamerkan aksi meyakinkan setakat ini.

Rossi tiba di Jerman dengan penamat terbaik tempat kesembilan dan hanya menduduki tangga ke-19 kedudukan pelumba bersama Petronas Yamaha.

Dia ketinggalan 100 mata berbanding pendahulu keseluruhan dari Yamaha, Fabio Quartararo.

Dalam kata lain, segala-galanya tidak memihak kepada Rossi ketika ini namun pelumba veteran itu kekal tenang.

"Kami melalui sesi ujian yang bagus di Catalunya. Kami mencuba beberapa pelarasan baru seperti yang dimahukan. Saya berasa positif dan berharap kami dapat meneruskannya di Jerman," kata Rossi.

Sachsenring mencetuskan persoalan kepada setiap pelumba kerana ia satu-satunya litar yang masih belum menganjurkan sebarang perlumbaan sejak penularan Covid-19 dua tahun lalu.

"Ia litar yang sangat berbeza berbanding yang lain dengan banyak selekoh di sebelah kiri. Saya sememangnya menantikan perlumbaan di litar ini selepas tidak dapat berlumba tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 12:59 PM