FERRARI kembali bertenaga di Bahrain. FOTO AFP
FERRARI kembali bertenaga di Bahrain. FOTO AFP
Agensi

Maranello: Ferrari memerlukan tiga atau empat perlumbaan lagi bagi memahami sepenuhnya potensi sebenar jentera F1 2021 mereka, menurut prinsipal pasukan, Mattia Binotto.

Pasukan berpangkalan di Itali itu memulakan musim ini dengan bergaya apabila meraih mata berganda di Bahrain selepas Charles Leclerc dan Carlos Sainz menduduki tempat keenam dan kelapan dengan Ferrari tampak bangkit kembali daripada musim F1 terburuk sejak empat dekad lalu.

Ferrari yakin jentera SF21 lebih baik berbanding jentera 2020 tetapi Binotto menegaskan ia memerlukan beberapa lagi perlumbaan bagi memastikan pasukan mencapai kedudukan lebih baik musim ini.

"Saya fikir ia adalah jurang yang kami masih lagi gagal bersaing dengan pasukan hebat dan dalam perlumbaan ia adalah besar. Jadi ia masih lagi perjalanan jauh ke podium,'' kata Binotto.

"Tetapi ia juga bergantung litar ke litar. Kami tahu kami tidak cukup membangunkan jentera kerana kami fokus 2022 dari segi reka bentuk dan pembangunan di Maranello.

"Pelumba mula belajar mengenai kereta. Kami pula mempelajari had kemampuan kereta yang kemudiannya disampaikan kepada pelumba atau kami memperbaikinya.

"Jadi saya fikir selepas tiga atau empat perlumbaan akan dapat menilai kemampuan sebenar prestasi dan potensi berbanding kereta lain, jadi kami akan tunggu sebelum membuat penilaian,'' katanya.

Walaupun Ferrari menampakkan kemajuan berbanding musim lalu, Binotto mengakui banyak lagi perlu dilakukan untuk memulihkan semula reputasi Ferrari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 1:11 PM