MATTIA Binotto. FOTO Reuters
MATTIA Binotto. FOTO Reuters
Agensi

Maranello: Selepas mengharungi dua musim terakhir untuk memulihkan pasukan, Ferrari mula optimis dengan cabaran yang bakal hadapi pada musim 2022.

Pasukan paling popular di perlumbaan Formula Satu (F1) itu menamatkan kempen dua tahun lalu dengan keputusan paling buruk selepas 40 tahun apabila berdepan masalah dengan jentera.

Mereka bangkit semula pada tahun lalu apabila menewaskan McLaren untuk menduduki tempat ketiga kejuaraan pengeluar.

Prinsipal pasukan Ferrari, Mattia Binotto berkata, kejayaan itu memberi keyakinan semula kepada mereka bagi mengharungi musim 2022.

Bagaimanapun beliau tidak mahu meletakkan keyakinan tinggi bahawa Ferrari mampu memberi cabaran sengit kepada Mercedes dan Red Bull.

"Jarak dengan dua pasukan itu masih agak jauh. Ia menunjukkan kedua-dua pasukan itu masih kuat.

"Kami perlu bekerja keras pada tahun ini dan menjadikan ia sebagai keutamaan. Jika kami tidak mempunyai sikap seperti ini, sukar untuk kami memiliki kereta yang bagus dan kompetitif pada tahun 2022.

"Apa juga keputusan yang diraih nanti, ia adalah atas kerjasama sepasukan dan kami amat mementingkan elemen ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 12:19 PM