BINOTTO berkata Ferrari akan fokus kepada pembangunan jentera untuk 2022. FOTO Agensi
BINOTTO berkata Ferrari akan fokus kepada pembangunan jentera untuk 2022. FOTO Agensi
AFP

Maranello: Saingan Formula Satu (F1) musim ini menjadi kempen kepada Ferrari untuk memperbaiki prestasi susulan prestasi buruk pada tahun lalu, kata bos Ferrari, Mattia Binotto.

Ferrari akan memperkenalkan jentera 2021 pada bulan depan namun hampir keseluruhannya berpandukan kepada jentera tahun lalu yang menyaksikan pasukan itu meraih keputusan paling buruk dalam tempoh 40 tahun.

"Pada 2021 kami akan fokus kepada pembangunan jentera untuk 2022," kata Binotto kepada media secara maya.

"Ini adalah objektif utama dan atas faktor itu kami tidak akan menghabiskan banyak masa untuk jentera 2020 pada musim ini."

Binotto berkata perubahan peraturan teknikal dan krisis Covid-19 menyebabkan Ferrari terpaksa membekukan program pembangunan dalam usaha untuk menjimatkan kos sekali gus hanya akan memperkenalkan model baharu jentera mereka pada 2022.

"Kami perlu mengutamakan keseimbangan dan harus membuat pilihan. 2022 adalah perubahan yang amat penting," katanya.

Ferrari menamatkan saingan di kedudukan keenam kategori pengeluar pada tahun lalu dengan mengumpul 131 mata, 442 mata di belakang juara dunia, Mercedes dan 188 mata ketinggalan berbanding Red Bull di tempat kedua.

"Jurang dengan pasukan pertama sangat besar. Ia tidak boleh diperbaiki dalam tempoh singkat," kata Binotto.

Pada musim baharu ini, Ferrari akan mempertaruhkan Carlos Sainz yang menggantikan Sebastian Vettel serta pemandu sedia ada, Charles Leclerc.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 10:57 AM