(DARI kiri) Sainz Jr bersama prinsipal pasukan, Frederic Vasseur dan Leclerc bergambar bersama jentera terbaru SF-23. FOTO AFP
(DARI kiri) Sainz Jr bersama prinsipal pasukan, Frederic Vasseur dan Leclerc bergambar bersama jentera terbaru SF-23. FOTO AFP
AFP

Maranello, Itali: Ferrari memperkenalkan jentera baharu SF-23 milik mereka untuk musim Formula Satu (F1) akan datang di ibu pejabat dekat Maranello, malam tadi, ketika Scuderia mahu mengatasi Red Bull dan juara dunia, Max Verstappen.

Pasukan ikon dari Itali itu menamatkan saingan di tangga kedua pemandu dan pengeluar musim lalu, selepas kempen diganggu kesilapan dan jauh di belakang Red Bull serta Verstappen yang selesa mengekalkan kejuaraan.

Pemandu Ferrari tidak menang kejuaraan sejak Kimi Raikkonen pada 2007 dan kejuaraan pengeluar terakhir hadir setahun selepas itu, sekali gus menyaksikan kemarau panjang bagi pasukan paling berjaya dalam F1 itu.

"Jelas, sasaran utama ialah untuk menang," kata pemandu, Charles Leclerc, yang menguji SF-23 dekat litar Maranello di depan 500 penyokong pasukan.

"Perasaan ketika menang ialah sesuatu yang memberi motivasi buat saya, memberi motivasi buat semua ahli pasukan.

"Saya tidak sabar untuk kembali ke dalam jentera dan cuba menang kejuaraan."

Secara rasmi, tiada kelebihan antara Leclerc dan rakan sepasukan, Carlos Sainz, justeru sesiapa sahaja boleh mencuba jentera baharu itu di Maranello.

"Jika pada suatu ketika pemandu itu jelas bertarung untuk merebut gelaran, saya yakin pasukan akan lakukan apa sahaja untuk meletakkannya di kedudukan terbaik," tambah Leclerc.

Sainz yang menduduki tempat kelima musim lalu dengan mata terbanyak ketika menjuarai Grand Prix (GP) Britain berkata, dia yakin untuk menyertai musim baharu yang akan bermula di GP Bahrain, bulan depan.

"Saya bekerja keras pada musim sejuk untuk bersedia sepenuhnya pada musim ini.

"Musim lalu, saya mengecapi sedikit kejayaan, ia bukan musim yang mudah, tetapi saya sedar memang tiada musim yang mudah," kata pemandu Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 11:30 AM