CHERPIN (kiri) ketika aksi peringkat pertama perlumbaan Rali Dakar. FOTO AFP
CHERPIN (kiri) ketika aksi peringkat pertama perlumbaan Rali Dakar. FOTO AFP
AFP

Paris: Pelumba motosikal Perancis, Pierre Cherpin meninggal dunia selepas mengalami kecederaan ketika beraksi di Rali Dakar, menjadi kes kematian pertama membabitkan perlumbaan terkenal itu tahun ini.

Cherpin, 52, meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Perancis selepas dia terbabit dalam kemalangan dengan kelajuan 178 kilometer per jam Ahad lalu.

"Ketika dalam perjalanan melalui kapal terbang dari Jeddah ke Perancis, Pirre Cherpin meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami," jelas penganjur dalam satu kenyataan.

Pelumba Portugal, Paulo Goncalves meninggal dalam perlumbaan tahun lalu, dalam saingan rali yang dianggap 'terbesar dan sukar di dunia'.

Cherpin, yang beraksi dalam perlumbaan keempat Rali Dakar, ditemui tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam kemalangan dan di bawa ke hospital di Sakaka sebelum diterbangkan ke Jeddah.

Selepas pembedahan kecemasan, usahawan dan pelayar itu diletakkan dalam keadaann koma dan berada dalam keadaan stabil ketika diterbangkan ke Lille.

"Saya seorang pelumba amatur, saya tidak mahu memenangi perlumbaan namun mahu melihat keindahan alam, di mana saya tidak berpeluang untuk melihatnya jika bukan menyertai saingan ini.

"Semuanya sangat menarik, menunggang motosikal, melakukan aktiviti yang anda minat dan dapat mengenali diri sendiri," kata pelumba berkenaan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 5:19 PM