MOHAMED Jani (berdiri tiga dari kanan)  bersama petinju Sukma Negeri Sembilan. FOTO IHSAN PTANS
MOHAMED Jani (berdiri tiga dari kanan) bersama petinju Sukma Negeri Sembilan. FOTO IHSAN PTANS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan bakal menjanjikan saingan sengit dalam acara tinju pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, apabila menyenaraikan 14 petinju termasuk empat wanita, untuk persiapan menghadapi temasya sukan terbesar itu.

Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Amatur Negeri Sembilan (PTANS), Mohamed Jani Ismail berkata, pihaknya akan mempertaruhkan lapan orang atlet termasuk dua wanita untuk menggalas cabaran pada temasya sukan berkenaan.

Katanya, ketika ini PTANS menetapkan sasaran awal kutipan satu pingat emas berbanding pencapaian pada Sukma lalu di Kuala Lumpur dengan satu pingat gangsa melalui penyertaan dua atlet lelaki.

"Dengan membariskan hampir semua petinju muda berusia seawal 18 tahun, kita menaruh keyakinan petinju-petinju ini mampu menggalas cabaran pasukan dan seterusnya mendapatkan keputusan cemerlang meraih pingat pada Sukma di Sarawak nanti.

"PTANS dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) sudah mendapatkan khidmat bekas ketua jurulatih tinju kebangsaan, Azmi Yunus, untuk mengetuai program latihan atlet, bagi memastikan mereka mendapat latihan dan bimbingan lebih sempurna.

"Kita menaruh keyakinan tinggi kepada kemampuan, keupayaan serta pengalaman Azmi untuk membimbing setiap atlet sehingga mereka mencapai tahap prestasi terbaik dan mampu beraksi cemerlang di Sukma nanti," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 9:28 PM