PERENANG negara, Phee Jinq En menunjukkan pingat perak dimenanginya dalam acara 100 meter kuak dada, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
PERENANG negara, Phee Jinq En menunjukkan pingat perak dimenanginya dalam acara 100 meter kuak dada, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Selepas memenangi pingat emas dalam tiga edisi Sukan Sea sebelum ini, perenang negara, Phee Jinq En terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara 100 meter kuak dada wanita di Hanoi, hari ini.

Jinq En mencatatkan masa satu minit 9.6 saat untuk menduduki tempat kedua di Pusat Akuatik Kebangsaan My Dinh.

Singapura merangkul emas dan gangsa menerusi Letitia Sim dengan catatan 1:08.79s dan Christie Chue (1:10.29s).

Jinq En yang gagal menaiki podium dalam acara 50m kuak dada awal minggu ini, gembira apabila menamatkan persaingan dalam kelompok tiga terbaik.

"Saya berusaha melakukan yang terbaik dan akhirnya menang medal.

"Sejujurnya, saya memburu gangsa saja. Di Sukan Sea terburuk bagi saya kali ini, pingat apa pun bermakna bagi saya.

"Sudah tentu, catatan masa saya tidak sebagus sebelum ini dan saya fikir sudah tiba masanya perenang muda tampil mewakili Malaysia," kata perenang berusia 24 tahun itu yang juga juara bertahan acara 50m kuak dada.

Sebelum ini, Jinq En memenangi pingat emas acara 100m kuak dada di Singapura 2015, Kuala Lumpur 2017 dan Manila 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 9:48 PM