ANIQ (kanan) dan Aznil (kiri) fokus Kejohanan Dunia di Riyadh.
ANIQ (kanan) dan Aznil (kiri) fokus Kejohanan Dunia di Riyadh.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menghormati setiap keputusan dibuat persatuan sukan masing-masing sekiranya memilih untuk tidak menghantar atlet mereka ke temasya Sukan Asia, Hangzhou, September ini.

Ia susulan keputusan dua atlet angkat berat negara yang meraih emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 iaitu Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin yang memilih untuk tidak ke Sukan Asia, Hangzhou, China.

Kedua-dua mereka dijangka menyertai Kejohanan Dunia di Riyadh, Arab Saudi bermula 2 September ini dalam usaha memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau menyedari kelayakan Olimpik Paris 2024 sangat penting kepada atlet untuk mereka mendapatkan mata.

"MOM sokong apa yang diputuskan oleh pihak persatuan kerana mungkin kita ada rasa kekurangan di Sukan Asia jadi agenda lebih penting adalah untuk Olimpik nanti.

"Untuk layak ke Olimpik juga bukan mudah sebab setiap atlet perlu mendapatkan mata bagi membolehkan mereka layak," katanya.

Sementara itu Norza berkata, sasaran pingat untuk temasya Sukan Asia hanya akan diputuskan selepas persatuan mengemukakan cadangan masing-masing.

"Buat masa ini proses berkenaan dilakukan oleh ketua kontinjen (Datuk Chong Kim Fatt) bersama pengurus persatuan. Mereka akan bincang cadangan dari persatuan secara kolektif untuk kementerian dan pihak saya lihat sama ada sasaran yang akan dicapai itu realistik atau tidak.

"Kemudian kita akan umumkan bila perkara itu dibincang dengan lebih lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 6:22 PM