ALCARAZ mencium trofi selepas muncul juara Terbuka Perancis. FOTO REUTERS
ALCARAZ mencium trofi selepas muncul juara Terbuka Perancis. FOTO REUTERS
Reuters

Paris: Carlos Alcaraz berkata, kejuaraan Terbuka Perancis, malam tadi, adalah detik paling membanggakan dalam kariernya apabila muncul pemain termuda memenangi Grand Slam di atas ketiga-tiga permukaan gelanggang susulan gelaran di Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pemain Sepanyol berusia 21 tahun itu menewaskan pemain Jerman, Alexander Zverev, 6-3, 2-6, 5-7, 6-1 dan 6-2 di Roland Garros untuk menyertai kelompok pemain elit seperti Mats Wilander, Jimmy Connors, Andre Agassi, Roger Federer, Rafa Nadal dan Novak Djokovic.

Selepas tiba di Paris tanpa gelaran baharu berikutan kecederaan lengan kanan, Alcaraz mengakui kejayaan terbaharu itu sangat istimewa.

"Sudah tentu, memenangi Terbuka AS (pada 2022) ketika kali pertama saya bergelar pemain nombor satu dunia adalah sesuatu yang diimpikan sejak mula bermain tenis, menang gelaran Grand Slam pertama. Jadi, ia memang istimewa," kata Alcaraz.

"Cara saya menang di Wimbledon (pada 2023), dengan mengalahkan Djokovic dalam pertarungan lima set adalah pencapaian hebat buat saya.

"Sekarang, menjulang trofi Roland Garros selepas apa yang saya lalui pada bulan terakhir sebelum ini termasuk kecederaan, saya tidak pasti.

"Mungkin, ini adalah detik sangat saya bangga kerana apa yang dilakukan bulan lalu semata-mata untuk bersedia bagi kejohanan ini bersama pasukan, banyak yang kami lakukan.

"Jika boleh, saya berlatih. Jika tidak, saya berbincang bersama mereka. Sejujurnya ia sangat sukar buat saya."

Alcaraz terpaksa menarik diri daripada Terbuka Monte Carlo dan Barcelona kerana cedera sebelum tersingkir di suku akhir ketika berusaha mempertahankan gelaran di Terbuka Madrid, selain tidak beraksi di Terbuka Itali.

"Saya menganggap diri saya sebagai pemain yang tidak perlu terlalu banyak perlawanan untuk berada pada tahap 100 peratus.

"Saya melalui minggu yang bagus di Paris, berlatih dengan pemain terbaik di dunia. Sudah tentu, saya semakin baik dari setiap perlawanan," kata Alcaraz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 9:41 AM