Nurul Nabilah (kanan) bersama jurulatihnya, Nurhafizah Mohamad (tengah) dan Nurul Izzah Izzati di Velodrom Nasional Nilai. - Foto Mohd Amin Jalil.
Nurul Nabilah (kanan) bersama jurulatihnya, Nurhafizah Mohamad (tengah) dan Nurul Izzah Izzati di Velodrom Nasional Nilai. - Foto Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya mahu mengikut jejak langkah kakak yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024," kata Nurul Nabilah Mohd Asri, adik kepada pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati.

Pelumba remaja kebangsaan berusia 19 tahun ini, menyifatkan kejayaan kakaknya itu sebagai pembakar semangatnya untuk terus berusaha gigih menjalani latihan bagi meningkatkan kemajuan dan tahap prestasinya dalam sukan berkenaan.

Penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) Jitra ini, berazam mahu menyertai lebih banyak kejohanan sama ada tempatan mahupun antarabangsa bagi menimba pengalaman.

"Bagi saya, kejayaan kakak (Nurul Izzah) melayakkan diri di Sukan Olimpik Paris pada usia 20 tahun, sangat mengagumkan. Saya ingin mengikut jejaknya dengan harapan suatu hari nanti berpeluang pergi jauh dalam sukan ini.

"Untuk itu, saya akan berusaha berlatih bersungguh-sungguh dan menyertai lebih banyak kejohanan termasuk di peringkat antarabangsa bagi menguji tahap prestasi dengan pelumba luar selain menimba pengalaman," katanya ketika ditemui.

Nurul Nabilah yang juga anak kedua daripada tiga beradik memberitahu dia mula berkayuh ketika berusia 14 tahun dengan mewakili sekolah dan dalam beberapa kejohanan di Kedah.

Kebolehannya dalam sukan itu mula terserlah ketika mewakili Kedah pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur dengan meraih pingat emas dalam acara sprint.

"Pencapaian di Sukma itu dianggap paling membanggakan kerana kali pertama menyertai dan dapat sumbang emas buat Kedah," katanya, yang berazam meneruskan kecemerlangan itu pada Sukma di Sarawak tahun ini.

Nurul Nabilah kemudian mendapat pendedahan apabila menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, pada Jun tahun lalu dan disusuli pada ACC 2024 di New Delhi, India, Februari tahun ini.

"Saya masih mencari acara khusus yang perlu diberikan tumpuan. Setakat ini saya menyertai semua acara, namun mungkin acara sprint dan keirin seperti dilakukan kakak, lebih serasi," katanya.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional, Nilai, baru-baru ini, Nurul Nabilah membantu Kedah mempertahankan kejuaraan bagi acara pecut berpasukan.

Dalam aksi penentuan pingat emas itu, menyaksikan trio Kedah membabitkan Nurul Izzah, Nurul Nabilah dan Nur Fitrah Shaari mencatatkan 52.696 saat (s) untuk mengatasi trio Pulau Pinang yang dibarisi Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak, Intan Nur Irdrisha Abdul Razak dan Nurul Eliana Syafika Azizan (52.886s).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:36 PM