Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk kaum Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak masih dikekalkan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, pengekalan dasar itu masih diperlukan dalam usaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum terutamanya membabitkan aspek sosioekonomi.

"Laporan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada 2024 (tahun ini) oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi membabitkan Bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional.

"Malah, kadar miskin mutlak dalam kalangan Bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki.

"Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak-anak Bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri sebagai keperluan dalam meningkatkan kualiti hidup serta mengubah nasib mereka," katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan bercadang untuk membenarkan bukan Bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976.

ZAMBRY, gambar fail. FOTO Bernama
ZAMBRY, gambar fail. FOTO Bernama

Mengulas mengenai isu kekurangan pakar kardiotorasik sehingga mencetuskan kontroversi membabitkan UiTM, Zambry berkata, berlakunya kekeliruan interpretasi yang dilakukan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Kita berusaha untuk mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan masalah khusus kepada empat tenaga pakar yang tamat melalui parallel pathway.

"Di sinilah menimbulkan sedikit salah faham yang hanya terdapat di UiTM. Bagaimanapun di peringkat kementerian, kita cuba mencari pendekatan yang terbaik bagaimana kita nak selesaikan masalah itu," katanya.

Katanya, bagi menyelesaikan masalah berkenaan, satu perbincangan bersama Universiti Malaya (UM) sudah dilakukan dan sedang merancang untuk memperkenalkan kursus itu.

"Insya-Allah dalam tempoh tedekat, isu seperti ini akan kita selesaikan pada kadar segera. Kita jangkakan pada bulan Oktober nanti, isu kursus berkaitan kadiotorasik akan dapat diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 12:58 PM