NURUL Izzah meraikan kemenangan. FOTO Owee Ah Chun
NURUL Izzah meraikan kemenangan. FOTO Owee Ah Chun
Affan Rostam


Nilai: Pelumba basikal trek wanita Kedah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila terus menguasai Velodrom Nasional Malaysia untuk meraih pingat emas keempat peribadinya menerusi acara keirin dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Nurul Izzah, 19, yang juga pelumba kebangsaan itu dilihat tidak mengalami sebarang masalah untuk bersaing dengan lima pelumba lain sekali gus menamatkan perlumbaan dalam tempoh 12.027 saat (s).

Pelumba Pulau Pinang, Nurul Aliana Syafika Azizan terpaksa berpuas hati dengan perak biarpun dia cuba menyaingi Nurul Izzah di selekoh akhir dan gangsa menjadi milik Yong Ann Yii dari Selangor.

Bagaimanapun, pelumba yang mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, Jun lalu itu tetap mahu memperbaiki segala kelemahan selain menyifatkan pelumba dari negeri lain turut memberikan saingan sengit.

"Saya bersyukur untuk satu lagi pingat emas ini dan berharap selepas ini boleh tambah baik lagi dalam acara lain pula. Saya pun tak jangka boleh dapat nombor satu sebab ruang dah sempit di penghujung perlumbaan tadi.

"Tapi, apa yang saya fikir adalah untuk lolos saja. Kebanyakan pelumba pun berikan saingan yang sengit dan saya pun agak gementar dalam perlumbaan akhir tadi. Jangan pandang rendah dekat orang lain dan teruskan berjuang," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan akhir di Velodrom Nasional Malaysia, hari ini.

Selepas ini pelumba kelahiran Jitra itu akan membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis yang dijadual berlangsung bulan depan.

Untuk rekod, tiga lagi emas dimenangi Nurul Izzah adalah menerusi acara 500 meter ujian masa, acara pecut dan pecut berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 2:15 PM