NURUL Izzah menunjukkan pingat yang dimenangi di ACC 2024 di New Delhi, baru-baru ini. FOTO BERNAMA
NURUL Izzah menunjukkan pingat yang dimenangi di ACC 2024 di New Delhi, baru-baru ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bintang berbasikal trek negara yang sedang meningkat naik, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mampu menjadi pelumba bertaraf dunia apabila memasuki usia pertengahan dua puluhan, kata ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia dapat memberi ruang dan masa kepada pelumba berusia 20 tahun itu untuk berkembang secara fizikal dan kematangan, sekali gus membuka jalan untuk atlet harapan itu menampilkan persembahan menakjubkan pada masa hadapan.

"Sejujurnya Nurul Izzah membuat saya teruja melihat betapa cepatnya dia belajar, tetapi dia masih dalam proses pertumbuhan dan perkembangan. Jika proses ini cuba disegerakan, ia hanya akan menjejaskan atlet.

"Semua orang berbeza, ada yang dapat berkembang maju dengan cepat dan ada yang mengambil masa lebih lama.

"Apa yang saya boleh beritahu anda adalah dia akan menjadi pelumba yang baik jika diberi masa dan kita tidak perlu memberi tekanan berlebihan kepadanya," katanya kepada Bernama.

Bulan lalu, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu melakar pencapaian hebat apabila muncul juara keirin wanita dan menamatkan kemarau emas Malaysia selama 12 tahun dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara keirin wanita ialah pada edisi 2012 menerusi Fatehah Mustapa.

Nurul Izzah turut memenangi emas dalam acara 500 meter (m) ujian masa individu, perak dalam acara pecut berpasukan wanita dan gangsa dalam acara pecut wanita di New Delhi.

Walaupun persembahannya cemerlang di New Delhi, Nurul Izzah tidak dapat mengekalkan momentumnya pada kejohanan Piala Negara-negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 di Hong Kong, minggu lepas apabila tewas awal dalam acara keirin dan pecut wanita.

Bagaimanapun, Beasley yang menyifatkan gadis kecil molek itu sebagai 'The Pocket Rocketwoman', berpuas hati dengan persembahan Nurul di Velodrom Hong Kong.

Jurulatih kelahiran Australia itu berkata, juara Sukan Malaysia (Sukma) itu telah melakukan apa yang diharapkan pasukannya semasa perlumbaan di Hong Kong.

Beliau berkata, kejohanan di Hong Kong itu memberi pengajaran berharga kepada Nurul untuk berkembang sebagai pelumba basikal terkemuka, termasuk pelaksanaan taktikal dan pendedahan apabila bersaing dengan pelumba terbaik dunia.

Beasley yang kini berada di United Kingdom untuk ujian bersama pasukannya, mengesahkan Nurul Izzah akan bersaing pada pusingan akhir Piala UCI di Milton, Kanada, yang dijadualkan berlangsung 12-14 April.

Beliau mendedahkan rancangan pasukan itu untuk ke Australia, Jumaat ini bagi menjalani kem latihan bersama Datuk Azizulhasni Awang dan dua Sahrom bersaudara iaitu Muhammad Shah Firdaus dan Muhammad Ridwan sehingga 7 April, sebelum perlumbaan mereka di Milton.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 10:09 PM